Oleh: Noorumaina Mohamed Yunus
NILAI – Kejayaan menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Perniagaan di Brunel University of London tidak menghentikan perjalanan ilmu Dr. Noor Amy Ismail apabila beliau memilih Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk mengikuti pengajian PhD kali kedua pada usia 50 tahun.
Di USIM, beliau mengikuti pengajian PhD dalam bidang Pengajian Quran dan Sunnah dengan penyelidikan bertajuk “Reframing Social Value in Impact Investing through the Qur’an and Sunnah: A Qualitative Analysis of Malaysian Investors pada April baru-baru ini di bawah seliaan Dr. Siti Nur Aafifah Hashim dan Prof Madya Dr. Ros Aiza Mohd Mokhtar.
Penyelidikan tersebut memberi tumpuan kepada pembingkaian semula konsep nilai sosial dalam pelaburan berimpak berdasarkan perspektif al-Quran dan Sunnah.
Pemilihan USIM membuka ruang kepada beliau untuk menghubungkan pengalaman luas dalam bidang pelaburan, pengurusan korporat dan transformasi organisasi dengan pendekatan integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang menjadi teras universiti.
PhD pertamanya di Brunel University of London pula memfokuskan peranan kerjasama antara organisasi dalam membantu penggunaan teknologi digital dalam kalangan syarikat pemula niaga serta perusahaan kecil dan sederhana di Malaysia. Pengajian tersebut diselesaikan antara tahun 2021 hingga 2025.
Perjalanan akademik keduanya memperlihatkan kesinambungan antara ilmu pengurusan dan teknologi dengan nilai Islam. Penyelidikan di USIM dijangka membolehkannya meneroka bagaimana prinsip al-Quran dan Sunnah dapat diterapkan dalam menilai impak sosial sesuatu pelaburan, khususnya dalam konteks pelabur di Malaysia.
Dr. Noor Amy membawa pengalaman lebih 25 tahun dalam kepimpinan korporat, modal teroka, transformasi digital dan pembangunan strategik. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah mengurus portfolio bernilai lebih USD1 bilion serta berurusan dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, dana kekayaan negara dan syarikat global.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau turut terlibat dalam pembangunan Malaysia Venture Capital Roadmap 2024–2030, yang menyediakan kerangka pembangunan bagi industri modal teroka Malaysia bernilai lebih USD2 bilion.
Selain itu, beliau merupakan antara individu yang menyumbang kepada pembangunan program pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana bernilai £520 juta di United Kingdom.

Antara jawatan kanan yang pernah disandang beliau ialah Ketua Pegawai Operasi Malaysia Venture Capital Management Berhad, peneraju pelaburan modal teroka dan perkhidmatan kewangan di Menteri Besar Incorporated Selangor, Pengarah Strategi dan Transformasi MARDEC Berhad serta Pengurus Besar Kanan FGV Holdings.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Komunikasi Strategik InvestKL, Naib Presiden Perancangan Strategik di Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Mediacorp Singapura, Pengurus Besar Kumpulan di Pejabat Perdana Menteri Malaysia serta Pengurus Besar Kumpulan TV9 di Media Prima Berhad.
Dalam bidang akademik dan kepimpinan pemikiran, Dr. Noor Amy kini merupakan Profesor Adjung di Universiti Tun Abdul Razak, pensyarah pelawat di Universiti Teknologi Malaysia dan Felo Kehormat di Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia.
Beliau turut berperanan sebagai penasihat strategik kepada beberapa firma modal teroka dan agensi kerajaan.
Kepimpinan dan pengaruh beliau dalam industri turut menerima pengiktirafan apabila disenaraikan sebagai antara 200 Suara Wanita Global Terbaik dalam Modal Teroka 2025, antara pempengaruh modal teroka terkemuka di Asia serta menduduki tempat pertama dalam kategori modal teroka menerusi senarai Malaysia’s Top 50 on LinkedIn 2024.
Pada tahun 2025, beliau menubuhkan gerakan “Wanita Itu”, yang menghimpunkan lebih 10,000 peserta dalam tempoh setahun melalui program pembangunan kerohanian, kepimpinan komuniti, perusahaan kecil dan sederhana serta keusahawanan.
Beliau turut menubuhkan Wanita Itu Impact Fund bagi membantu 100 usahawan wanita daripada keluarga rentan.
Pengajian PhD kedua Dr. Noor Amy di USIM mencerminkan komitmen terhadap pembelajaran sepanjang hayat serta usaha menggabungkan pengalaman industri dengan penyelidikan berteraskan nilai Islam.
Perjalanannya juga membuktikan bahawa pencapaian akademik bukan sekadar memperoleh kelayakan, sebaliknya menjadi wadah untuk memperluas sumbangan kepada industri, masyarakat dan ummah melalui ilmu yang relevan serta memberi impak.
Noorumaina Mohamed Yunus adalah Penolong Pegawai Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
