PUTRAJAYA – Dianggarkan seramai 35 hingga 40 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sidang khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang dijadual berlangsung pada 11 Ogos ini.
Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, setakat ini sejumlah Ahli Parlimen dari pelbagai blok telah menyatakan kesediaan dan minat untuk menyertai perbahasan berhubung dapatan laporan berkenaan.
Menurut beliau, Jemaah Menteri turut dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah bersetuju sidang khas tersebut dijalankan secara berterusan tanpa waktu rehat bagi memberi ruang secukupnya kepada Ahli Parlimen membahaskan isu berkenaan.
“Pada ketika ini, dianggarkan sekurang-kurangnya 35 hingga 40 orang Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan dan minat untuk membahaskan isu tersebut,” katanya pada sidang media mingguan selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini, semalam.
Beliau berkata, orang ramai juga boleh mengikuti keseluruhan prosiding sidang khas itu secara langsung menerusi saluran media rasmi yang menyiarkan persidangan Dewan Rakyat.
Sidang khas berkenaan dijangka menjadi antara tumpuan utama negara memandangkan ia akan membincangkan secara khusus dapatan dan syor yang terkandung dalam Laporan RCI berhubung pengurusan serta tadbir urus Tabung Haji.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan persidangan khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan tersebut akan bermula pada jam 10 pagi, 11 Ogos dan dijangka berlangsung sehingga sebelah petang.
Beliau berkata, kerajaan mengambil pendekatan untuk membentangkan dapatan RCI secara terbuka di Parlimen bagi membolehkan semua Ahli Parlimen meneliti serta membahaskan hasil siasatan yang telah dijalankan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Laporan RCI mengenai Tabung Haji telah dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Antara syor utama yang dikemukakan ialah pelaksanaan audit forensik bagi meneliti proses dan asas kepada keputusan pelaburan yang dibuat sebelum ini sehingga mengakibatkan kemerosotan ketara nilai aset institusi berkenaan.
Selain itu, laporan tersebut turut mengenal pasti beberapa pelaburan yang disifatkan sebagai bermasalah dan memerlukan penelitian lanjut menerusi audit forensik bagi menentukan sebarang unsur salah laku atau kelemahan dalam proses membuat keputusan.
RCI juga mendapati terdapat transaksi yang dianggap mencurigakan serta wujud elemen penyembunyian maklumat dalam beberapa urusan yang melibatkan pengurusan Tabung Haji ketika tempoh siasatan.
Sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini dijangka memberi peluang kepada Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang mengemukakan pandangan, persoalan serta cadangan susulan terhadap dapatan dan syor yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung institusi pengurusan dana haji negara itu.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
