Oleh Bazli Razak
TANJONG MALIM – Penyelidikan di universiti perlu melangkaui sekadar memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI), penerbitan akademik atau syarat kenaikan pangkat, sebaliknya perlu menghasilkan impak yang mampu memberi manfaat kepada institusi, masyarakat dan negara.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, landskap pendidikan tinggi masa kini memerlukan perubahan paradigma dalam melihat peranan penyelidikan supaya ia dapat menyumbang kepada pembangunan universiti secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata, setiap hasil penyelidikan perlu diterjemahkan kepada nilai tambah termasuk melalui pengkomersialan, inovasi, perundingan, pembangunan program baharu serta penjanaan pendapatan universiti.
“Sudah berlalu masa penyelidikan yang hanya dibuat untuk memenuhi KPI ataupun untuk memenuhi peluang naik pangkat dan penerbitan. Kita perlu melihat penyelidikan sebagai satu usaha yang mampu membawa impak lebih besar kepada universiti.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Jawatankuasa Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Awam Malaysia (JKTNCPI UAM) di Ma-ni Thai Cuisine Hulu Bernam, malam tadi.
Md Amin berkata, universiti juga perlu membangunkan model penyelidikan yang bersesuaian dengan kekuatan dan kepakaran masing-masing tanpa terlalu bergantung kepada acuan institusi luar negara.
Menurut beliau, setiap universiti mempunyai keunikan tersendiri yang perlu dimanfaatkan bagi membentuk ekosistem penyelidikan dan inovasi yang lebih relevan dengan keperluan semasa.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Kita kadang-kadang cuba hendak menjadi seperti Massachusetts Institute of Technology (MIT), tetapi ekosistem industri dan kekuatan kita berbeza. Mengapa tidak kita bangunkan model kita sendiri berdasarkan kekuatan yang kita ada.
Dalam konteks UPSI, beliau berkata universiti itu memberi penekanan kepada pendekatan yang mengiktiraf pelbagai bentuk sumbangan warga akademik, bukan hanya melalui penerbitan jurnal berimpak tinggi, tetapi turut merangkumi usaha mendapatkan perundingan, menjana pendapatan dan membangunkan inisiatif baharu.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memberikan ruang kepada warga akademik menyumbang berdasarkan kepakaran masing-masing sekali gus memperkukuh kemampuan universiti menjana sumber dalaman bagi menyokong agenda penyelidikan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa JKTNCPI UAM merangkap Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Ts. Dr. Shukor Abd Razak berkata, pelaksanaan mesyuarat JKTNCPI secara bergilir di universiti awam memberi peluang kepada institusi berkongsi amalan terbaik dalam memperkukuh agenda penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan.

Beliau berkata, kunjungan ke UPSI bukan sekadar pertemuan rasmi, sebaliknya menjadi platform untuk melihat sendiri pendekatan dan inisiatif yang dibangunkan universiti berkenaan, khususnya dalam bidang kesejahteraan, pembangunan kanak-kanak, inovasi serta kemudahan sokongan akademik.
“Kita mahu belajar apa amalan terbaik yang telah dilakukan di universiti untuk kita sama-sama contohi di peringkat universiti masing-masing. Program seperti ini sangat baik kerana kita dapat melihat kekuatan dan keunikan setiap universiti awam,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
