SUNGAI PETANI – Sebarang isu seperti kegagalan penjawat awam melaksanakan tugas apabila memilih bekerja dari rumah (BDR) tidak akan timbul jika mereka mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata ada KPI yang ditetapkan sebelum seseorang penjawat awam dibenarkan melaksanakan BDR.
“Sebelum diberikan kelulusan BDR, (petugas) perlu semak talian Internet sama ada baik atau tidak, tempat tinggal di mana dan ada KPI atau tidak.
“Itu tanggungjawab Ketua Jabatan, jadi yang bekerja ini tidak perlu risau… kesimpulannya mudah, semua Ketua Jabatan yang memberikan kelulusan BDR ini, beliau mesti bertanggungjawab atas kelulusan yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Fasiliti Rekreasi dan Sukan di INTAN Leadership Development (iLEAD) Park serta Perasmian Dewan Al-Amin di INTAN Kampus Wilayah Utara (INTURA) di sini hari ini.
Shamsul Azri juga berkata Ketua Jabatan turut bertanggungjawab memantau semua penjawat awam yang berada di bawah seliaannya semasa BDR.
“Sebagai contoh, Ahmad kena siapkan 14 tugasan jadi sebelum ‘clock out’, kesemua tugasan itu perlu dihantar,” katanya.
Menerusi pelaksanaan dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH), penjawat awam yang layak akan mengikuti norma kerja baharu yang menyaksikan mereka akan mula bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari BDR setiap minggu, bermula 1 Ogos.
Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata tiada aduan diterima berkaitan penggunaan sistem SPOT-Me setakat ini.
Beliau berkata menerusi sistem itu, penjawat awam hanya perlu merekod waktu memulakan kerja dan menamatkannya berbanding cadangan sebelum ini yang memerlukan rekod kehadiran dibuat setiap jam.
“Petugas hanya menggunakan SPOT-Me ketika ‘clock in’ dan ‘clock out’… penambahbaikan ini dibuat bagi mengelakkan pegawai terbeban, selain mereka hanya perlu mematuhi pekeliling yang telah dikeluarkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis sama. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
