Lebih 2,300 Haiwan Termasuk Spesies Terancam Maut Di Jalan Raya Sejak 2022

KUALA LUMPUR – Sebanyak 2,316 kes kematian haiwan akibat dilanggar kenderaan di jalan raya direkodkan di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 2022 hingga Mei lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata 459 kes kemalangan dicatatkan pada 2022, diikuti 367 kes (2023), 522 kes (2024), 811 kes (2025) dan 157 kes hingga Mei tahun ini.

“Kemalangan turut melibatkan spesies hidupan liar yang dilindungi dan terancam termasuk Harimau Malaya, tapir dan gajah Asia,” katanya kepada Bernama.

Iklan Klinik Suzana

Bagi Harimau Malaya, satu kes direkodkan pada 2023, tiga kes (2024) dan satu kes (2025) manakala bagi spesies tapir pula, sebanyak 15 kes (2022), masing-masing 25 kes pada 2023 dan 2024, 31 kes (2025) dan tiga kes hingga Mei tahun ini.

Beliau berkata bagi gajah Asia, terdapat dua kes pada 2021, satu kes (2022), dua kes (2024) dan lima kes (2025).

Abdul Kadir berkata pembinaan jalan raya yang membelah kawasan hutan telah memutuskan koridor pergerakan hidupan liar, sekali gus memaksa haiwan melintasi jalan raya untuk mencari makanan, pasangan bagi pembiakan atau habitat baharu yang lebih selamat.

Selain itu, beliau berkata habitat yang mengecil mengurangkan sumber makanan semula jadi menyebabkan hidupan liar semakin kerap keluar ke laluan jalan raya serta ke kawasan pertanian, perladangan dan penempatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Jalan Raya Timur-Barat di Gerik, Perak, Jalan Kota Tinggi-Mersing dan Jalan Jemaluang-Kota Tinggi di Johor, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Kemaman, Terengganu serta Jalan Kuala Krai-Gua Musang, Kelantan dikenal pasti sebagai kawasan titik panas kemalangan membabitkan hidupan liar.

Bagi mengurangkan risiko kemalangan, Abdul Kadir berkata pelbagai langkah mitigasi sedang dilaksanakan di bawah agenda Central Forest Spine (CFS), iaitu rangkaian lapan kompleks hutan seluas 6.71 juta hektar yang menjadi tulang belakang kawasan sensitif alam sekitar di Semenanjung Malaysia, menerusi kerjasama kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pemaju lebuh raya.

Beliau berkata Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) 2022 menjadi panduan jangka panjang bagi memastikan perancangan pembangunan dilaksanakan tanpa memutuskan koridor ekologi yang menjadi laluan semula jadi hidupan liar.

Pelbagai langkah mitigasi juga dilaksanakan termasuk pembinaan jejambat hidupan liar, terowong bawah tanah, pemasangan pagar perlindungan, pagar perimeter, pagar elektrik dan papan tanda amaran berlampu di kawasan berisiko tinggi bagi membolehkan haiwan melintasi jalan raya dengan lebih selamat, di samping meningkatkan kewaspadaan pengguna jalan raya.

“Antara keperluan utama juga adalah penyediaan Wildlife Management Plan oleh pihak pemaju yang menggariskan langkah-langkah mitigasi serta tindakan perlu dilaksanakan bagi mengurus dan mengurangkan konflik manusia-hidupan liar sepanjang pelaksanaan projek,” katanya.

Abdul Kadir berkata usaha mengurangkan kes kemalangan itu tidak boleh bergantung kepada pembangunan infrastruktur semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat dengan mengelakkan perbuatan memberi makan atau memprovokasi hidupan liar. – BERNAMA

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *