SEREMBAN – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kepercayaan yang diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 akan diterjemahkan melalui pentadbiran yang bertanggungjawab, berorientasikan rakyat dan berpaksikan prinsip kestabilan serta kemajuan negeri.
Beliau berkata BN akan terus menjunjung politik kesederhanaan, memperkukuh perpaduan antara kaum, mengamalkan tadbir urus yang baik serta bekerjasama dengan semua pihak.
“Hal ini demi memastikan Negeri Sembilan terus kekal sebagai sebuah negeri yang stabil, maju, inklusif dan makmur untuk generasi hari ini dan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zambry berkata BN turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi di Negeri Sembilan dan semua lapisan masyarakat atas sokongan, keyakinan serta kepercayaan yang diberikan kepada gabungan itu pada PRN kali ini.
“Kemenangan BN bukan sekadar satu pengiktirafan, bahkan satu amanah besar yang wajib dipikul dengan penuh integriti, tanggungjawab dan keikhlasan demi berkhidmat kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang,” katanya.
Zambry berkata keputusan PRN Negeri Sembilan malam tadi menunjukkan bahawa rakyat negeri itu terus meletakkan keyakinan kepada pendekatan politik yang sederhana, stabil dan berteraskan perpaduan.
Beliau berkata BN turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak atas kerja keras yang membawa kepada kejayaan gabungan itu dalam PRN Negeri Sembilan.
Keputusan PRN Negeri Sembilan menyaksikan BN berjaya memperoleh 18 kerusi DUN manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 11 kerusi, sekali gus membolehkan dua gabungan itu membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga.
Pada PRN Negeri Sembilan ke-15, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi DUN diikuti BN (14) dan PN (lima), sekali gus menyaksikan pembentukan kerajaan negeri PH dan BN.
DUN Negeri Sembilan dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah BN Negeri Sembilan menarik sokongan daripada kepimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun pada 27 April, sekali gus membawa kepada PRN diadakan. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
