Tiga Wanita Warga Thailand Ditahan Disyaki Guna Taktik Berniaga Untuk Raih Simpati Orang Ramai

KOTA BHARU – Taktik berselindung di sebalik aktiviti menjaja makanan ringan bagi meraih simpati orang ramai terbongkar apabila tiga wanita warga Thailand ditahan dalam satu operasi bersepadu sekitar bandar ini, semalam.

Ops Mesra Bersepadu itu dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa selepas mengesan kegiatan individu tertentu dipercayai menjadikan lokasi tumpuan awam, khususnya kawasan berhampiran mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebagai tempat mendapatkan sumbangan orang ramai.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Che Samsuzuki Che Noh berkata, siasatan awal mendapati aktiviti yang dilakukan oleh wanita terbabit bukanlah perniagaan dalam erti kata sebenar, sebaliknya dipercayai merupakan satu helah untuk menarik simpati individu yang datang mengeluarkan wang atau berurusan di bank.

Menurut beliau, kehadiran mereka di kawasan ATM dengan menawarkan makanan ringan dilihat lebih kepada strategi untuk mendorong orang ramai memberikan wang atas dasar belas ihsan berbanding menjalankan aktiviti jualan secara serius.

“Malah, hasil siasatan mendapati ada dalam kalangan mereka dipercayai mampu memperoleh pendapatan sehingga RM300 sehari hasil kemurahan hati masyarakat yang bersimpati terhadap keadaan mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan, operasi tersebut diketuai Ketua Inspektor Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Mohamad Ali, dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurutnya, operasi bersepadu itu memberi tumpuan kepada individu yang disyaki menjalankan aktiviti mengemis atau meraih simpati di beberapa lokasi strategik yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

Antara lokasi diperiksa termasuk kawasan berhampiran institusi perbankan, Dataran Muhammadi, Dataran Bandaraya serta beberapa kawasan lain sekitar pusat bandar Kota Bharu.

Operasi turut diperluaskan ke kawasan pasar raya di Kubang Kerian dan Pasir Tumboh bagi mengesan individu yang menjalankan aktiviti sama.

Dalam operasi itu, seramai lapan individu ditahan membabitkan tiga wanita warga Thailand, tiga lelaki warga tempatan, seorang wanita tempatan berusia antara 48 hingga 70 tahun, selain seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun.

Che Samsuzuki berkata, kanak-kanak itu ditemukan berada bersama ibunya yang merupakan warga Thailand di pekarangan sebuah bank di Jalan Kebun Sultan ketika operasi dijalankan.

“Siasatan mendapati bapanya adalah seorang warga Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, empat warga tempatan yang ditahan telah ditempatkan di bawah peruntukan Akta Orang-Orang Papa 1977 bagi membolehkan tindakan lanjut diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.

Sementara itu, individu bukan warganegara diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk semakan status kemasukan serta dokumen perjalanan mereka.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JKM bersama MPKB-BRI turut mengambil pendekatan mendidik masyarakat dengan memasang pelekat peringatan bertulis “Bijak Membantu Elak Tertipu” di beberapa lokasi awam dan kawasan tumpuan.

Menurutnya, kempen kesedaran itu bertujuan menggalakkan orang ramai menyalurkan bantuan melalui saluran lebih teratur dan sah seperti agensi kebajikan atau pertubuhan berdaftar, bagi mengelakkan sumbangan disalahgunakan atau dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan taktik menggunakan elemen simpati bagi mendapatkan wang daripada orang ramai.

Sebaliknya, sebarang bentuk bantuan kepada individu yang benar-benar memerlukan disarankan disalurkan melalui saluran rasmi agar kebajikan golongan sasar dapat dijaga dengan lebih berkesan dan telus.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *