'Semoga Titah Adendum dapat dilaksanakan segera' - Ismail Sabri

Ismail Sabri Ingatkan UMNO Tak Perlu Gusar Pendedahan Laporan RCI TH, Penubuhannya Dipersetujui MKT

SEREMBAN – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan UMNO tidak mempunyai sebab untuk berasa bimbang terhadap keputusan kerajaan mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau mengingatkan UMNO, penubuhan suruhanjaya itu adalah keputusan yang dipersetujui oleh Mesyuarat Kerja Majlis Tertinggi (MKT) parti.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, pelbagai spekulasi timbul mengenai masa pendedahan laporan tersebut tidak seharusnya dijadikan isu politik sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap UMNO.

Sebaliknya, beliau berpandangan laporan RCI perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.

“Mungkin ada pihak yang melihat kepada aspek masa atau timing pendedahan laporan ini dan menimbulkan pelbagai andaian. Namun, pada saya, tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan kerana UMNO sendiri sebelum ini bersetuju dalam Mesyuarat MKT supaya RCI ditubuhkan bagi menyiasat apa yang berlaku di Tabung Haji,” katanya.

Ismail Sabri turut menjelaskan, fungsi utama RCI adalah menjalankan siasatan secara bebas serta mengemukakan syor kepada kerajaan berdasarkan dapatan yang diperoleh, bukannya mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan undang-undang atau menghukum mana-mana individu yang terlibat.

Katanya, masyarakat perlu memahami laporan RCI hanyalah satu mekanisme bagi membantu kerajaan membuat keputusan atau tindakan susulan yang difikirkan sesuai berdasarkan cadangan yang dikemukakan.

“Setakat di peringkat kerajaan, begitulah prosesnya. Lazimnya RCI tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu. Sebaliknya, suruhanjaya ini akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan mengenai langkah-langkah yang wajar diambil berdasarkan hasil siasatan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan Kabinet mendedahkan laporan berkenaan kepada umum membolehkan rakyat meneliti sendiri kandungan laporan tersebut tanpa bergantung kepada tafsiran mana-mana pihak.

“Saya difahamkan Kabinet telah memutuskan supaya laporan RCI ini didedahkan dan rakyat boleh mengetahui secara langsung apa yang terkandung dalam laporan tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Sidang Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos ini bagi membolehkan laporan RCI berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji dibentangkan dan dibahaskan oleh Ahli-ahli Parlimen.

Menurut beliau, sidang khas berkenaan dijadualkan bermula pada jam 10 pagi dan akan berlangsung sehingga selesai bagi memberi ruang kepada semua pihak mengemukakan pandangan berhubung dapatan serta syor yang terkandung dalam laporan berkenaan.

Anwar turut memaklumkan, cadangan mengadakan sidang khas itu telah mendapat persetujuan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan isu berkaitan pengurusan Tabung Haji dibincangkan secara terbuka dan telus di Parlimen.

Perkembangan itu dijangka terus menjadi perhatian pelbagai pihak memandangkan Tabung Haji merupakan institusi kewangan Islam yang mempunyai peranan penting dalam mengurus simpanan serta urusan haji jutaan pendeposit di negara ini.

Pendedahan laporan RCI dan perbahasan di Dewan Rakyat dijangka memberi gambaran lebih menyeluruh mengenai dapatan siasatan serta tindakan susulan yang bakal dipertimbangkan oleh kerajaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *