SEREMBAN – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan melaksanakan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (Optical Character Recognition – Voter Attendance atau OCR-VA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 Sabtu ini.
Pelaksanaan itu sebagai langkah SPR memperkukuh usaha pendigitalan dan menambah baik kecekapan pengurusan pilihan raya.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pelaksanaan sistem baharu itu akan dijalankan di Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor melibatkan Saluran 1 hingga Saluran 7 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan.
Menurut beliau, pemilihan lokasi berkenaan adalah sebahagian daripada projek perintis yang bertujuan menilai keberkesanan penggunaan teknologi digital dalam mempercepatkan urusan semakan kehadiran pengundi di pusat mengundi.
Katanya, sistem OCR-VA dibangunkan khusus untuk merekod serta menandakan kehadiran pengundi secara automatik menerusi pengimbasan maklumat yang terdapat pada kad pengenalan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada proses manual yang digunakan sebelum ini.
“Melalui penggunaan sistem ini, proses semakan identiti dan perekodan kehadiran pengundi dijangka dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tepat dan sistematik.
“Ia juga mampu mengurangkan risiko kesilapan penandaan kehadiran secara manual, selain membantu meningkatkan kecekapan petugas Kerani Pengundian (KP) ketika mengendalikan proses semakan di saluran mengundi,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, penggunaan teknologi berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif SPR dalam memperkukuhkan transformasi digital sistem pilihan raya negara tanpa mengubah atau menjejaskan prosedur asas pengundian yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan pilihan raya.
Menurutnya, pelaksanaan sistem OCR-VA hanya melibatkan proses pengesahan dan penandaan kehadiran pengundi, manakala tatacara membuang undi kekal seperti biasa.
“Pengundi hanya perlu hadir ke pusat mengundi seperti biasa dan mengemukakan kad pengenalan kepada petugas untuk tujuan semakan. Selepas maklumat diimbas dan kehadiran direkodkan, mereka boleh meneruskan proses pengundian mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya.
Khairul Shahril turut memberi jaminan bahawa penggunaan sistem baharu itu tidak akan menjejaskan prinsip kerahsiaan undi yang menjadi asas utama dalam setiap proses pilihan raya di negara ini.
Beliau menegaskan, OCR-VA tidak merekod atau mengesan pilihan yang dibuat oleh pengundi ketika mengundi, sebaliknya hanya berfungsi sebagai sistem pengesahan kehadiran.
“SPR memberi jaminan pelaksanaan sistem OCR-VA hanya melibatkan proses penandaan kehadiran pengundi dan tidak mempunyai sebarang kaitan dengan proses pengundian atau perekodan calon yang dipilih oleh pengundi.
“Oleh itu, kerahsiaan undi adalah terpelihara sepenuhnya. Sistem ini turut dibangunkan dengan mengambil kira aspek keselamatan maklumat serta perlindungan data peribadi pengundi selaras dengan piawaian yang ditetapkan,” jelas beliau.
Katanya lagi, dapatan daripada pelaksanaan projek rintis itu akan dinilai secara menyeluruh selepas PRN Negeri Sembilan bagi mengenal pasti tahap keberkesanan sistem dari segi kelancaran operasi, ketepatan data serta kesediaannya untuk diperluaskan pada pilihan raya akan datang.
Menurut beliau, hasil penilaian tersebut akan menjadi asas kepada SPR dalam mempertimbangkan penggunaan teknologi berkenaan secara lebih meluas sekiranya terbukti mampu meningkatkan kecekapan pengurusan pilihan raya.
Sehubungan itu, SPR turut memohon kerjasama semua pengundi yang akan mengundi di pusat berkenaan agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada petugas sepanjang pelaksanaan projek rintis tersebut.
“Kerjasama daripada semua pengundi amat dihargai bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan lancar, teratur, cekap serta membantu SPR menilai keberkesanan sistem ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memodenkan pengurusan pilihan raya di Malaysia,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
