Abdul Azeez Tampil Pertahan Diri, Sedia Disiasat Semula Isu RCI Tabung Haji

JELEBU – Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akhirnya tampil memberikan penjelasan secara terbuka berhubung dakwaan dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan institusi itu, sambil menegaskan beliau tidak pernah gentar untuk disiasat semula jika masih timbul sebarang keraguan.

Menurut bekas Ahli Parlimen Baling itu, beliau bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak berkuasa sekiranya kerajaan memutuskan untuk membuka semula siasatan terhadap dakwaan salah laku yang dikaitkan dengannya ketika menerajui Tabung Haji.

Beliau bagaimanapun menegaskan, tuduhan sering dilemparkan terhadap dirinya tidak seharusnya terus dijadikan bahan politik tanpa disokong dengan bukti yang kukuh.

“Kalau nak siasat semula, silakan. Saya orang pertama yang akan beri kerjasama sepenuhnya. Kalau benar saya mencuri atau melakukan kesalahan, saya sanggup menanggung akibatnya.

“Tetapi janganlah terus mengulang-ulang tuduhan kononnya saya ‘sakau’ hanya kerana kepentingan politik,” katanya.

Dalam masa sama, Abdul Azeez turut mempersoalkan keputusan kerajaan mendedahkan laporan RCI ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sedang berlangsung.

Beliau berkata, laporan berkenaan sebenarnya telah siap sejak penghujung tahun 2022 dan telah melalui beberapa siri pembentangan kepada Jemaah Menteri sebelum ini.

Menurutnya, persoalan utama timbul ialah mengapa laporan tersebut hanya diumumkan kepada umum selepas lebih tiga tahun ia disiapkan.

“Saya sendiri tidak tahu mengapa laporan ini mengambil masa begitu lama untuk didedahkan. Setahu saya, laporan itu telah lama siap dan dalam laporan tersebut juga dinyatakan ia boleh diterbitkan kepada umum.

“Kenapa sekarang? Itu hanya Perdana Menteri yang boleh menjawab,” katanya.

Beliau turut mendakwa telah mendapatkan perkembangan daripada pihak polis mengenai siasatan berkaitan kes tersebut.

“Dua minggu lalu saya bertanya kepada pihak polis mengenai status fail berkenaan dan dimaklumkan siasatan telah lengkap, fail telah dikemas untuk disimpan dan hanya menunggu arahan ‘No Further Action’ (NFA),” katanya.

Abdul Azeez berkata, sepanjang siasatan sebelum ini beliau telah melalui pelbagai proses termasuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), audit forensik serta siasatan polis.

Menurut beliau, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada tahun 2021 turut mengeluarkan surat rasmi menyatakan tiada unsur salah guna kuasa atau penyelewengan dapat dibuktikan terhadap dirinya.

Selain itu, beliau memaklumkan telah dipanggil sebanyak 11 kali oleh polis bagi membantu siasatan yang dijalankan.

“Kalau benar saya melakukan penyelewengan seperti yang didakwa, sudah tentu saya telah dipenjarakan sejak tahun 2018 lagi.

“Saya pernah ditahan selama 14 malam di lokap, disiasat habis-habisan, termasuk melalui audit forensik. Kalau benar saya bersalah, saya percaya tindakan sudah lama diambil terhadap saya,” katanya.

Abdul Azeez turut mendedahkan, beliau sendiri pernah memohon supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat dakwaan yang dikaitkan dengan pengurusan Tabung Haji.

Beliau berkata, permintaan itu pernah disuarakan kepada Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, selain Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

Katanya, rayuan yang sama turut dibuat kepada Perdana Menteri selepas itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun tidak mendapat perhatian sewajarnya.

“Kalau benar saya atau UMNO melakukan penyelewengan, tidak mungkin saya sendiri yang meminta supaya RCI ditubuhkan. Rakyat boleh fikir sendiri logiknya,” katanya.

Abdul Azeez turut menjelaskan, sepanjang memegang jawatan sebagai Pengerusi Tabung Haji, kedudukannya hanyalah sebagai pengerusi bukan eksekutif, bukannya individu yang mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan sesuatu pelaburan atau transaksi kewangan.

Beliau berkata, setiap keputusan berkaitan pelaburan perlu melalui beberapa peringkat penilaian melibatkan pengurusan profesional Tabung Haji, panel pelaburan serta jawatankuasa pengurusan risiko sebelum dibawa ke mesyuarat Lembaga Pengarah.

“Saya bukan pengerusi eksekutif yang boleh membuat keputusan seorang diri. Semua cadangan pelaburan datang daripada pihak pengurusan, dinilai oleh jawatankuasa pengurusan risiko dan panel pelaburan sebelum dibentangkan kepada ahli lembaga pengarah untuk diputuskan.

“Rakyat perlu memahami bagaimana proses tadbir urus Tabung Haji sebenarnya dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Azeez turut mempertahankan rekod pentadbiran Tabung Haji ketika berada di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN), sambil menyifatkan kejayaan dicapai sepanjang tempoh tersebut tidak wajar dipadamkan daripada sejarah.

Beliau berkata, sepanjang lebih 15 tahun berturut-turut, termasuk tujuh tahun ketika beliau mempengerusikan Tabung Haji, institusi berkenaan menerima pengiktirafan sebagai antara pengurusan haji terbaik di dunia.

Menurutnya, kejayaan tersebut dicapai hasil komitmen seluruh warga Tabung Haji dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada lebih 1.4 juta jemaah haji Malaysia.

“Janganlah hanya kerana hendak menunjukkan pentadbiran hari ini lebih baik, segala sumbangan kerajaan terdahulu dinafikan.

“Kita berjaya membangunkan sistem pengurusan haji yang diiktiraf dunia, menyediakan perkhidmatan kebajikan dan kesihatan yang menjadi contoh kepada banyak negara.

“Apa yang dilakukan kerajaan hari ini ialah meneruskan serta memperkukuhkan asas yang telah dibina sebelum ini, bukannya bermula daripada kosong,” katanya.

Abdul Azeez menyeru rakyat, khususnya pendeposit Tabung Haji membaca sendiri laporan penuh RCI dan menilai kandungannya secara objektif tanpa dipengaruhi sentimen politik atau persepsi yang dibentuk oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, masyarakat berhak membuat penilaian berdasarkan fakta dan bukti yang terkandung dalam laporan tersebut, sekali gus memastikan isu berhubung TH tidak terus dijadikan polemik politik berpanjangan.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji ditubuhkan pada tahun 2021 bagi menyiasat aspek pengurusan, operasi dan pengendalian aset institusi itu sepanjang tempoh 2014 hingga 2020 susulan kebimbangan berkaitan tadbir urus serta kedudukan kewangannya.

Suruhanjaya berkenaan menyiapkan laporan siasatan pada Julai 2022 sebelum kerajaan memutuskan untuk mendedahkannya kepada umum dan membawanya ke Sidang Khas Dewan Rakyat bagi dibahaskan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *