MB Johor Hargai Jasa Empat Bekas Exco, Sifatkan Sumbangan Mereka Sebahagian Kejayaan Pentadbiran Negeri

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada empat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang menamatkan perkhidmatan bagi penggal 2022–2026 atas komitmen, dedikasi dan sumbangan mereka dalam memperkukuh pentadbiran serta memacu pembangunan negeri.

Beliau berkata, sepanjang satu penggal pentadbiran lalu, barisan Exco Kerajaan Johor telah bersama-sama memikul amanah, mengharungi pelbagai cabaran dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan agenda pembangunan serta kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kepentingan Bangsa Johor.

Empat bekas Exco yang diberikan penghargaan ialah Datuk Zahari Sarip, Raven Kumar Krishnasamy, Aznan Tamin dan Hajah Khairin-Nisa Ismail.

Menurut Onn Hafiz, segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka sepanjang menggalas tanggungjawab dalam portfolio masing-masing telah memberi sumbangan besar kepada kejayaan pentadbiran kerajaan negeri.

“Syukur Alhamdulillah, sepanjang satu penggal yang lalu, kami telah bersama-sama memikul amanah, menempuh pelbagai cabaran dan bekerja sebagai satu pasukan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Datuk Zahari Sarip, Raven Kumar Krishnasamy, Aznan Tamin serta Hajah Khairin-Nisa Ismail atas segala jasa dan khidmat bakti sepanjang menggalas amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2022 hingga 2026,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, setiap masa, tenaga, idea dan pengorbanan yang dicurahkan oleh keempat-empat mereka telah membantu kerajaan negeri mendepani pelbagai cabaran bagi memastikan pelaksanaan dasar, pembangunan dan program kebajikan rakyat berjalan dengan lancar.

Menurutnya, kejayaan dicapai Kerajaan Johor sepanjang tempoh pentadbiran tersebut bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya dibina melalui semangat kerja berpasukan serta komitmen seluruh anggota pentadbiran negeri.

Onn Hafiz berkata, setiap pencapaian yang diraih kerajaan negeri turut disumbangkan oleh dedikasi dan kerja keras bekas Exco terbabit yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh pelaksanaan pelbagai dasar serta inisiatif pembangunan.

“Segala jasa dan khidmat bakti yang telah diberikan kepada negeri serta Bangsa Johor akan sentiasa dikenang dan dihargai,” katanya.

Mengulas pembentukan barisan pentadbiran baharu, beliau menjelaskan perubahan dalam susunan Exco merupakan sebahagian daripada proses kesinambungan dan penyegaran pentadbiran yang lazim dilaksanakan bagi memperkukuh keupayaan kerajaan negeri dalam menghadapi cabaran semasa.

Bagaimanapun, katanya, perubahan jawatan tidak seharusnya dilihat sebagai pengakhiran kepada sumbangan seseorang kerana setiap individu yang pernah menggalas amanah mempunyai peranan besar dalam membentuk kejayaan pentadbiran negeri.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pengalaman, kebijaksanaan serta semangat untuk terus berkhidmat dalam kalangan bekas Exco berkenaan akan terus menjadi aset penting kepada pembangunan Johor pada masa hadapan.

“Amanah untuk Johor tidak pernah terhenti pada sesuatu jawatan. Saya percaya pengalaman, kebijaksanaan dan semangat untuk berkhidmat akan terus menjadi kekuatan dalam usaha kita bersama-sama membawa Johor ke tahap yang lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, Onn Hafiz berharap semangat kerjasama yang terjalin sepanjang satu penggal pentadbiran lalu akan terus diperkukuhkan demi memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan secara mampan dan memberi manfaat kepada seluruh rakyat.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus berganding bahu dalam memajukan Johor serta mendoakan agar setiap usaha yang dilaksanakan diberkati Allah SWT demi kesejahteraan Bangsa Johor.

“Terima kasih kerana telah berdiri bersama saya dan memberikan yang terbaik sepanjang satu penggal yang penuh bermakna. Marilah kita terus berganding bahu berkhidmat untuk Bangsa Johor. Semoga Allah SWT memberkati setiap usaha kita dalam memajukan negeri Johor yang kita cintai, insya-Allah,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *