Dr. Akmal Kekal Desak UMNO Keluar Kerajaan Perpaduan, Cabar PM Gugur Menteri BN Jika Mahu Konsisten

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menegaskan pendirian sayap parti itu yang mahu UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan kekal tidak berubah, meskipun parti itu masih menjadi sebahagian daripada pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, pendirian itu telah dinyatakan sebelum ini oleh Pergerakan Pemuda UMNO dan sehingga kini tiada perubahan terhadap pendirian berkenaan.

“Sebagaimana pendirian Pemuda UMNO sebelum ini yang mahu UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan, begitulah juga pendirian kami kekal hingga ke hari ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial pada Ahad.

Dalam kenyataan sama, Dr. Akmal turut menggesa Pemuda Pakatan Harapan (PH) supaya mengambil pendirian yang sama terhadap parti-parti lain yang masih bersama Kerajaan Persekutuan tetapi pernah bertanding menentang PH dalam pilihan raya negeri.

Beliau merujuk kepada Parti Warisan di Sabah yang menurutnya bertanding menentang PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu walaupun ketika itu parti berkenaan merupakan sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Saya minta Pemuda PH mendesak juga Parti Warisan di Sabah untuk keluar juga kerana mereka melawan PH ketika PRN Sabah yang lepas, yang mana ketika itu mereka adalah sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kemungkinan situasi sama berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang sekiranya Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertanding menentang PH.

Menurutnya, sekiranya perkara itu berlaku, Pemuda PH juga perlu mendesak GPS meninggalkan Kerajaan Persekutuan demi memastikan prinsip yang sama diterapkan kepada semua parti dalam gabungan kerajaan.

“Jika selepas ini berlakunya PRN Sarawak dan GPS bertanding melawan PH, desak juga GPS untuk keluar dari Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dr. Akmal berkata, sekiranya tiada tindakan sedemikian diambil terhadap parti-parti lain, kerajaan perlu menjelaskan pendiriannya supaya tidak dilihat mengamalkan layanan berbeza terhadap rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, beliau mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya menggugurkan semua menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN), Warisan dan GPS sekiranya kerajaan benar-benar mahu berpegang kepada prinsip bahawa parti yang bertanding sesama sendiri dalam pilihan raya negeri tidak seharusnya berada dalam pentadbiran Persekutuan.

“Jika tidak, saya cabar YAB PMX untuk buang semua menteri dan timbalan menteri daripada BN, Warisan dan GPS.

“Sila sahut cabaran ini,” katanya.

Kenyataan Dr. Akmal itu dipercayai merujuk kepada perbahasan yang timbul susulan hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan yang dalam keadaan tertentu bertanding sesama sendiri pada pilihan raya negeri, namun terus bekerjasama di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas beberapa pemimpin politik mengemukakan pandangan berhubung kesesuaian kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan yang mempunyai persaingan politik di peringkat negeri, sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai konsep dan semangat Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *