SERDANG – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berkaitan isu kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), di Kedah.
Beliau menegaskan bahawa permasalahan kelewatan itu yang menyebabkan golongan pesawah menjadi mangsa dan perkara berkenaan tidak sepatutnya berlaku serta tidak boleh dibiarkan berulang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya terdapat sebarang salah laku dikesan, tindakan pembatalan kontrak bekalan termasuk pendakwaan mengikut jalur perundangan negara terhadap pelaku atau mana-mana syarikat terlibat perlu dilakukan.
“Syarikat mana diberi amanah? Mereka tunai janji atau tidak? Kalau mereka tidak tunai, mengapa tidak ada tindakan terhadap mereka? Kalau syarikat yang seperti ini berulang kali melakukan kesilapan, batalkan! Ambil syarikat baharu.
“Jangan jadikan petani dan pesawah mangsa. Ambil tindakan, jika ada kesalahan, hadapkan ke mahkamah. Kalau nak dakwa, SPRM masuk, kaji balik proses ini,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini, hari ini.
Anwar berkata golongan pesawah tidak seharusnya dibebankan dengan apa-apa isu yang mengganggu punca rezeki mereka, terutama ketika berdepan dengan masalah lain termasuk bekalan air dan faktor cuaca panas ketika ini.
Beliau berkata isu kelewatan bekalan baja juga secara langsung telah memberikan imej buruk kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“KPKM ini rekodnya sebenarnya bersih di bawah Menteri Datuk Seri Mohamad Sabu, jiwa mereka dan warga kementerian juga sentiasa mahu bantu warga pesawah, tetapi kerosakan yang dilakukan ini telah beri gambaran tidak baik kepada kerajaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Jadi, saya nak guna ruang ini untuk mengatakan bahawa kerajaan akan melakukan apa sahaja yang mungkin untuk terus mengangkat dan membantu warga pesawah, termasuk sektor pertanian dan penternakan,” kata beliau.
Media sebelum ini melaporkan gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Kedah Mardhiyyah Johari, agar kerajaan mempertimbangkan bayaran ganti rugi kepada pesawah yang mengalami kerugian akibat kelewatan pengagihan Baja Sebatian Tambahan atau Baja Padi 3 di kawasan MADA.
Kelewatan itu dilaporkan menyebabkan kira-kira 38,000 pesawah dengan tanaman padi seluas 78,117 hektar di kawasan MADA terjejas.
Mohamad Sabu dalam kenyataan sebelum ini berkata bekalan Baja 3 itu kini telah pun dibekalkan kepada pesawah MADA sejak Khamis lepas dan dijangka selesai dalam tempoh 10 hari. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
