KUALA LUMPUR – Team TotalEnergies Pro Cycling mempertaruhkan barisan terkuat, sekali gus memperlihatkan kesungguhan mereka untuk mendominasi edisi ke-30 Kejohanan Berbasikal Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) yang akan membuka tirai pada 27 Sept ini.
Pasukan ProTeam dari Perancis itu menyedari bentuk laluan pendakian lebih getir kali ini dengan menyenaraikan enam pelumba yang mempunyai kebolehan mendaki yang baik, diketuai Jordan Jegat yang menduduki tangga ke-10 keseluruhan dalam Tour de France (TdF) pada Julai lepas.
“Selain prestasi hebat pada jelajah terunggul dunia itu, Jegat turut merekodkan kemenangan profesional pertamanya di Classic Grand Besancon Doubs tahun ini, tangga ketiga keseluruhan Tour du Jura dan keempat keseluruhan Presidential Cycling Tour of Turkiye,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat LTdL26 hari ini.
Selain Jegat, 27, pasukan yang akan disertai pengurus Thibaut Mace itu turut menyenaraikan Geoffrey Bouchard, 34; Alan Jousseaume, 28; Mathis Le Berre, 25; Nicola Macerou, 23; dan Valentin Retailleau, 26.
Menurut kenyataan itu, Bouchard, bekas pelumba WorldTeam AG2R memiliki pengalaman berkayuh sebanyak lapan kali pada Grand Tour dengan pencapaian tertinggi bergelar Raja Bukit pada Vuelta a Espana 2019 dan Giro d’Italia 2021 manakala Le Berre adalah bekas pelumba WorldTeam Arkea-Samsic yang berpengalaman dalam empat Grand Tour.
“Jousseaume, Macerou dan Retailleau pula adalah pelumba all-rounder yang mungkin akan dapat disaksikan ketika membantu rentak kayuhan Jegat, Bouchard dan Le Berre di peringkat awal pendakian atau mengemudi peloton untuk mengejar mana-mana cubaan breakaway yang boleh menggugat pelumba terbaik mereka,” menurut kenyataan itu.
LTdL26 yang berstatus 2.ProSeries akan bermula dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar pada 27 Sept ini dan berakhir dengan Peringkat 8 Muar-Putrajaya pada 4 Okt, membabitkan jarak keseluruhan sejauh 1,258.5 kilometer. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
