IPOH – Lagu berjudul “Aku Berjanji” ciptaan dan nyanyian Faizal Tahir dipilih sebagai lagu tema patriotik Bulan Kebangsaan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Lagu tersebut diperdengarkan buat julung kali kepada orang ramai pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 yang berlangsung di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah di sini, hari ini.
Faizal berkata, lagu tersebut membawa mesej kebersamaan, perpaduan dan semangat cintakan negara dalam usaha mempertahankan kedaulatan tanah air.
“Alhamdulillah, lagu ciptaan saya dan pasukan digunakan sebagai lagu tema kebangsaan pada tahun ini. Ia satu penghormatan buat saya yang sudah hampir 20 tahun dalam industri ini untuk dapat menyumbang sesuatu.
“Semoga lagu ini membangkitkan semangat rakyat Malaysia dan menyatukan kita melalui seni muzik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Beliau berkata proses pembikinan lagu berdurasi dua minit 29 saat itu mengambil masa kira-kira sebulan, manakala idea menghasilkan karya bertemakan semangat kebangsaan mula digarap sekitar Mei lepas.
Faizal mula mencipta nama selepas muncul naib juara program realiti One in a Million pada 2006 dan pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) 2008 kategori Balada menerusi lagu berjudul “Sampai Syurga”.
Lagu “Aku Berjanji” boleh dimuat turun oleh orang ramai melalui portal Merdeka360 bermula 12.30 tengah hari ini.
Lirik lagu Aku Berjanji
Aku berjanji
Dan ku bersumpah setia
Demi tuhan dan negara
Akan ku korbankan jiwa
Aku berjanji
Akan satukan semua
Kita pertahan bersama
Tanah air yang tercinta
Korus:
Semangat waja
Kan ku pertaruhkan nyawa
Demi sejahtera semua
Negaraku yang merdeka
Terus melangkah
Tetap terpahat di dada
Kita sejahtera bersama
Malaysia
Aku berjanji
Kepada ibu pertiwi
Kekal perpaduan ini
Teras semangat MADANI
– BERNAMA
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L