Pojok: Tamim Dahri, Interpol dan Episod Yang Memalukan

Dari Editorial ND

ADA kalanya dalam politik, bukan pembangkang yang menjatuhkan imej kerajaan.

Sebaliknya, kerajaan sendiri yang meletakkan dirinya dalam keadaan sukar untuk dipertahankan.

Kes Tamim Dahri adalah contoh.

Pada mulanya, naratif yang dibina cukup jelas. PDRM memaklumkan Tamim dipercayai meninggalkan negara melalui Bukit Kayu Hitam menuju ke Thailand sebelum dikesan berada di Riyadh, Arab Saudi. Mahkamah dimaklumkan mengenai perkara itu. Waran tangkap dikeluarkan.

Tidak lama kemudian, Menteri Dalam Negeri memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa PDRM telah mengambil langkah lebih jauh.

Pasport dimohon dibatalkan.

Permohonan Notis Merah Interpol pula dikemukakan pada 8 Jun.

Bagi orang awam, apabila nama Interpol disebut, ia bukan lagi operasi biasa. Ia memberi gambaran individu yang dicari sedang diburu di peringkat antarabangsa.

Walaupun dari sudut teknikal Notis Merah bukan waran tangkap antarabangsa, rakyat melihatnya sebagai petanda kerajaan menggunakan semua saluran yang ada untuk mengesan seseorang.

Tidak salah jika rakyat membuat tanggapan sedemikian. Lagipun, itulah mesej yang dibawa kepada umum.

Tetapi, beberapa minggu kemudian, cerita berubah sama sekali. Tamim tiba-tiba muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Negeri Sembilan.

Beliau menyerah diri.

Lebih mengejutkan, polis kemudian menjelaskan hasil siasatan mendapati beliau berada di Thailand selama lebih empat bulan sebelum kembali ke Malaysia melalui laluan tidak sah di sempadan Kelantan.

Di sinilah episod ini menjadi semakin sukar difahami.

Jika benar beliau berada di Thailand selama berbulan-bulan, mengapa sebelum ini perhatian lebih banyak tertumpu kepada Arab Saudi?

Jika benar permohonan Interpol telah dibuat, apakah status permohonan itu?

Adakah Notis Merah benar-benar telah dikeluarkan? Atau ia masih dalam proses? Atau belum diluluskan?

Setakat ini, persoalan-persoalan itu belum dijawab secara terperinci kepada rakyat.

Lebih penting lagi, jika seseorang boleh kembali ke Malaysia melalui laluan tidak sah selepas berada di luar negara selama beberapa bulan, apakah yang berlaku kepada kawalan sempadan negara?

Bukankah isu ini lebih besar daripada individu bernama Tamim Dahri?

Kerana jika dakwaan polis bahawa beliau kembali melalui laluan haram adalah tepat, ia membuka persoalan lain yang jauh lebih membimbangkan.

Kalau seseorang individu yang sedang dicari pihak berkuasa boleh masuk semula ke negara ini tanpa dikesan, bagaimana pula dengan penyeludup? Sindiket dadah? Pemerdagangan manusia? Penjenayah rentas sempadan?

Soalnya bukan lagi siapa Tamim. Soalnya ialah sejauh mana sempadan negara benar-benar terkawal. Inilah yang menjadikan episod ini memalukan.

Bukan kerana Tamim menyerah diri. Tetapi kerana naratif yang dibina sebelum ini seolah menggambarkan satu operasi besar-besaran sehingga melibatkan Interpol, sedangkan pengakhirannya ialah individu tersebut hadir sendiri ke balai polis.

Sudah tentu ada yang akan berhujah bahawa tiada salahnya seseorang menyerah diri.

Benar. Malah, dari sudut undang-undang, tindakan menyerah diri boleh memudahkan siasatan.

Namun, persoalan yang timbul bukan mengenai tindakan menyerah diri itu. Persoalannya ialah bagaimana keadaan boleh sampai ke tahap itu.

Kerajaan perlu sedar, setiap kenyataan rasmi akan dinilai oleh rakyat. Lebih lagi apabila Menteri Dalam Negeri memaklumkan di Parlimen bahawa Interpol telah dimohon membantu, kenyataan itu membawa implikasi besar.

Ia bukan kenyataan media biasa. Ia adalah jawapan rasmi kerajaan di Dewan Rakyat.

Sebab itu apabila perkembangan selepas itu tidak selari dengan persepsi yang terbentuk, kerajaan perlu tampil memberikan penjelasan yang lengkap.

Rakyat berhak mengetahui kronologi sebenar. Bilakah Tamim meninggalkan Malaysia? Bilakah beliau berada di Thailand?

Bagaimana beliau boleh berada di Arab Saudi seperti yang dimaklumkan sebelum ini?

Bilakah beliau kembali? Bagaimana beliau kembali? Apakah usaha yang dijalankan sepanjang tempoh beliau berada di luar negara?

Dan, yang paling penting, apakah sebenarnya status permohonan Interpol itu?

Persoalan-persoalan ini bukan bermaksud menuduh mana-mana pihak gagal menjalankan tugas. Sebaliknya, ia adalah soalan yang lahir daripada kenyataan rasmi kerajaan sendiri.

Dalam pentadbiran yang sering mengangkat slogan ketelusan dan akauntabiliti, menjawab persoalan seperti ini sepatutnya bukan sesuatu yang sukar.

Kerana ketelusan bukan sekadar slogan. Ia diukur melalui kesediaan kerajaan menjelaskan apa yang berlaku apabila timbul persoalan daripada rakyat.

Jika tidak dijelaskan, ruang itu akan dipenuhi dengan pelbagai spekulasi. Dan, pengalaman mengajar kita bahawa spekulasi biasanya lebih pantas bergerak daripada penjelasan rasmi.

Akhirnya, satu lagi persoalan yang menjadi perbualan ramai ialah sama ada Tamim sebenarnya “melarikan diri”.

Dari sudut bahasa biasa, seseorang yang meninggalkan negara ketika dikehendaki pihak berkuasa mungkin dianggap melarikan diri.

Namun, dari sudut undang-undang, perkara itu bergantung kepada fakta kes, siasatan polis dan akhirnya penentuan mahkamah.

Sebab itu, lebih wajar untuk berpegang kepada kenyataan rasmi bahawa polis sedang menyiasat dan beliau kini telah menyerah diri bagi membantu siasatan.

Apa yang pasti, episod ini meninggalkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Kerajaan MADANI mempunyai peluang untuk menamatkan polemik ini dengan penjelasan yang lengkap dan telus.

Jika tidak, yang akan terus diingati bukanlah mengenai permohonan bantuan Interpol atau proses siasatan.

Sebaliknya, orang ramai mungkin hanya mengingati satu perkara yang cukup mudah difahami:

Seorang individu yang dikatakan berada di luar negara, sehingga memerlukan bantuan Interpol untuk dikesan, akhirnya muncul sendiri di sebuah balai polis di Port Dickson.

Dan, dalam politik persepsi seperti itu sering lebih sukar dipadam daripada fakta yang datang kemudian. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *