Hatrik Saka bantu England raih tempat ketiga Piala Dunia 2026

KUALA LUMPUR – England muncul pasukan ketiga terbaik Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Perancis 6-4 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Stadium Miami, Amerika Syarikat, pada Sabtu.

Kemenangan itu menyaksikan juara edisi 1966 berkenaan menamatkan kempen di tempat ketiga buat julung-julung kalinya dalam sejarah penyertaan mereka di pentas Piala Dunia.

Kapten England Declan Rice membuka jaringan menerusi rembatan padu dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Perancis Mike Maignan.

England menggandakan kelebihan pada minit ke-18 apabila Ezri Konsa menanduk masuk sepakan penjuru yang diambil Rice.

Skuad The Three Lions terus menguasai permainan apabila Bukayo Saka meledak dua gol pada minit ke-37 dan masa kecederaan babak pertama untuk memberikan England kelebihan selesa 4-0 sebelum menuju ke bilik persalinan.

Memasuki babak kedua, Perancis bangkit merapatkan jurang menerusi jaringan Kylian Mbappe pada minit ke-48, sebelum Bradley Barcola menambah gol kedua Les Bleus enam minit kemudian.

Mbappe kemudian meledak gol kedua peribadi pada minit ke-66 untuk menjadikan kedudukan 4-3.

Jaringan kesepuluh beliau pada kejohanan itu turut menyaksikannya memintas pemain Argentina, Lionel Messi, dalam senarai penjaring terbanyak Piala Dunia 2026.

England kembali melebarkan jurang pada minit ke-87 selepas pengadil menghadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran Malo Gusto ke atas pemain England di dalam kotak penalti.

Saka tenang menyempurnakan sepakan itu untuk melengkapkan hatrik.

Pada masa kecederaan, Ousmane Dembele menjaringkan gol untuk menghidupkan peluang Perancis apabila merapatkan kedudukan kepada 5-4.

Namun, Jude Bellingham memastikan kemenangan England dengan jaringan pada penghujung masa kecederaan sekali gus memuktamadkan keputusan 6-4. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *