Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini bukan sekadar menentukan kerajaan negeri, malah boleh menjadi penentu kepada hala tuju dan imbangan kuasa politik di peringkat Persekutuan.
Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional merangkap Ketua Angkatan Muda HARAPAN Wilayah Persekutuan Faris Arriffin berkata, sejarah politik negara menunjukkan keputusan pilihan raya negeri sering menjadi pencetus kepada perubahan landskap politik nasional.
Menurutnya, perkembangan politik sejak 2021 membuktikan bahawa kemenangan besar sesebuah parti di negeri boleh menjadi modal tekanan serta pengaruh dalam menentukan kedudukan di Putrajaya.
Beliau berkata, selepas perubahan kerajaan pada 2021 yang menyaksikan kejatuhan pentadbiran Perikatan Nasional (PN), PRN Melaka menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN), sebelum Johor pula dibubarkan pada 2022 dengan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.
“Corak ini menunjukkan dalam politik gabungan, kemenangan di peringkat negeri boleh menjadi modal untuk membina pengaruh serta tekanan di peringkat pusat,” katanya menerusi hantaran di laman X miliknya
Faris berkata, situasi PRN Johor 2026 perlu dilihat dalam konteks lebih besar apabila BN kini mempunyai sekitar 30 kerusi Parlimen yang menjadi sebahagian daripada komponen penting dalam Kerajaan Perpaduan.
Katanya, sekiranya BN memperoleh kemenangan besar di Johor, keputusan itu bukan sahaja memberi kesan kepada pentadbiran negeri, malah boleh diterjemahkan sebagai tuntutan untuk mendapatkan kuasa tawar-menawar yang lebih besar dalam menentukan hala tuju kerajaan pusat.
Mandat yang terlalu dominan boleh mewujudkan persepsi bahawa sesuatu pihak mempunyai kedudukan lebih kuat untuk menentukan keputusan politik di peringkat nasional,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan isu berkaitan jawatan, dasar kerajaan, tarikh pilihan raya umum, termasuk perkara melibatkan proses perundangan dan pengampunan tidak seharusnya dijadikan alat rundingan politik.
Menurutnya, semua perkara tersebut mesti kekal tertakluk kepada Perlembagaan, undang-undang serta institusi negara.
Dalam masa sama, Faris mengingatkan kepentingan kadar keluar mengundi yang tinggi kerana keputusan pilihan raya tidak seharusnya hanya ditentukan oleh kekuatan jentera parti.
“Turnout rendah biasanya memberi kelebihan kepada jentera yang paling tersusun, manakala turnout tinggi mengembalikan kuasa kepada rakyat biasa untuk menentukan masa depan negeri,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Johor hanya mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kesan keputusan PRN itu mampu memberi implikasi terhadap landskap politik melibatkan 222 kerusi Parlimen.
Sehubungan itu, Faris menyeru rakyat Johor keluar mengundi bagi memastikan mandat yang diberikan benar-benar mencerminkan kehendak rakyat dan bukan sekadar kekuatan mana-mana gabungan politik.
“Yang dipilih bukan sekadar kerajaan negeri, tetapi kestabilan politik Malaysia,” katanya.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L