Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa Kementerian Kewangan (MOF) menyegerakan proses pengauditan dan pengesahan data kelewatan pembekalan kenderaan kerajaan bagi membolehkan Surat Tuntutan Penalti rasmi dikeluarkan kepada syarikat konsesi tanpa berlengah dalam siaran langsung sidang media Parlimen Malaysia.
Gesaan itu merupakan antara lima syor utama yang dikemukakan PAC menerusi Penyata Jawatankuasa berhubung Pengurusan Kenderaan Kerajaan di bawah Perjanjian Konsesi seliaan MOF.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, tindakan segera itu penting bagi memastikan kerajaan tidak terus mengalami kerugian susulan kelewatan pembekalan kenderaan yang sepatutnya dikenakan penalti mengikut syarat perjanjian.
Selain itu, beliau berkata, MOF bersama Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Jabatan Perdana Menteri perlu menjalankan kajian menyeluruh terhadap model pengurusan alternatif, termasuk penggunaan sistem pembekal fleet pelbagai bagi menggantikan model konsesi tunggal sedia ada.
Menurut beliau, kajian itu perlu menilai sama ada model baharu mampu menawarkan penjimatan kos serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan berbanding kontrak konsesi sedia ada yang mengikat kerajaan sehingga tahun 2037.
“Kerajaan juga perlu mempertimbangkan pilihan model kenderaan konsensi supaya operasi kementerian dan agensi tidak terjejas sekiranya berlaku gangguan bekalan atau penamatan pengeluaran oleh pengeluar automotif tertentu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, PAC menggesa MOF memastikan sistem digital pemantauan fleet dilaksanakan sepenuhnya di semua kementerian dan agensi bagi mengesan lebih awal tempoh tamat pajakan kenderaan.
Mas Ermieyati berkata, sistem itu perlu mempunyai fungsi amaran awal supaya proses permohonan kenderaan baharu dapat dilakukan mengikut jadual sekali gus mengelakkan kelewatan pembekalan berulang.
Beliau turut mengesyorkan supaya MOF memasukkan penambahbaikan dalam Perjanjian Tambahan bersama SPANCO Sdn Bhd agar kementerian dan agensi tidak terus dikenakan kadar pajakan bulanan bagi kenderaan yang telah tamat tempoh pajakan tetapi masih terpaksa digunakan akibat kelewatan pembekalan kenderaan baharu.
Dalam masa sama, PAC berpandangan syarat kontrak yang menetapkan tempoh pembekalan selama 60 hari bekerja perlu dikaji semula agar selaras dengan keupayaan sebenar industri automotif.
Beliau juga berkata, semakan itu perlu mengambil kira faktor perubahan varian kenderaan, proses kastam dan pendaftaran, pemasangan peralatan operasi khas serta cabaran logistik penghantaran ke Sabah dan Sarawak bagi mengelakkan pengenaan penalti yang tidak munasabah pada masa hadapan.
Terdahulu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 mendedahkan pengurusan kenderaan konsesi kerajaan berada pada tahap kurang memuaskan apabila sebanyak 6,028 kenderaan gagal dibekalkan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Lebih membimbangkan, laporan itu turut mendedahkan kerajaan dianggarkan gagal mengenakan penalti berjumlah RM54.51 juta terhadap syarikat konsesi walaupun berlaku kelewatan pembekalan.
Mengikut LKAN 3/2025 yang dibentang di Dewan Rakyat di sini hari ini, Perjanjian Konsesi (CA2) yang berkuat kuasa dari 31 Julai 2022 hingga 30 Julai 2037 menetapkan setiap kenderaan perlu dibekalkan dalam tempoh 60 hari bekerja dari tarikh pesanan dikeluarkan.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L