Onn Hafiz Yakin ‘Gelombang Biru’ Terus Kukuh Di Johor

Oleh NurFarhana Zulkeply

JOHOR BAHRU – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yakin gabungan itu berada di landasan tepat untuk mempertahankan pentadbiran negeri apabila mendakwa momentum sokongan rakyat terus meningkat menjelang penutupan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut beliau, sambutan yang diterima di pelbagai lokasi sepanjang tempoh berkempen memberi petanda positif bahawa apa yang disifatkannya sebagai “gelombang biru” sedang melanda Johor.

Katanya, perkembangan itu turut menyuntik semangat kepada seluruh jentera BN yang kini memasuki fasa terakhir kempen bagi memastikan sokongan tersebut diterjemahkan kepada kemenangan pada hari pengundian.

Bagaimanapun, Onn Hafiz mengingatkan semua penyokong agar tidak terlalu yakin atau leka, sebaliknya terus menggandakan usaha mendekati pengundi sehingga tamat tempoh berkempen.

Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap yang dipertahankannya, beliau menyasarkan kemenangan dengan majoriti sekurang-kurangnya 8,000 undi, berbanding majoriti 6,543 undi yang diraih pada Pilihan Raya Negeri 2022.

Menurut beliau, peningkatan majoriti itu akan menjadi petunjuk keyakinan rakyat terhadap prestasi pentadbiran kerajaan negeri serta usaha pembangunan yang dilaksanakan sepanjang penggal lalu.

Dalam masa sama, beliau mengarahkan jentera BN di DUN Machap memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus penyokong keluar mengundi sebelum jam 12 tengah hari pada hari pengundian.

Beliau berkata, kemenangan bukan hanya bergantung kepada momentum atau sokongan yang ditunjukkan sepanjang kempen, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kadar keluar mengundi yang tinggi bagi memastikan BN terus diberi mandat mentadbir Johor.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *