BANGKOK – Seorang wanita dipecat selepas menyalahkan sami Buddha susulan nahas membabitkan sebuah pikap dipandu kanak-kanak lelaki merempuh sekumpulan sami yang sedang melakukan ziarah keagamaan di wilayah Mukdahan.
Seramai 10 mangsa terkorban manakala lebih 20 lagi cedera.
Dalam kejadian 2 Julai lalu, dua sami dilaporkan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Jalan raya adalah untuk kenderaan, bukannya untuk sami berjalan. Walaupun kanak-kanak ini tidak merempuh mereka hari ini, lain kali mungkin pemandu mabuk, seseorang yang mengalami kegagalan brek atau pengsan akibat penyakit. Hentikan amalan ziarah keagamaan di tepi jalan,” tulis wanita berkenaan di akaun Facebook peribadinya.
Dalam hantaran berasingan, beliau turut menulis: “Jika sami tidak berjalan di tepi jalan, adakah jumlah korban akan seteruk ini? Cukuplah dengan amalan ziarah keagamaan di tepi jalan.”
Selepas kenyataannya menerima kecaman meluas, wanita itu memuat naik satu lagi hantaran: “Saya tidak faham mengapa kamu semua tidak faham. Mengapa kamu menyebelahi sami?”
Kenyataan berkenaan mencetuskan gelombang kritikan di media sosial, dengan ramai pengguna menyifatkan wanita itu menyalahkan mangsa.
Pelbagai stesen televisyen dan portal berita turut melaporkan kenyataan wanita berkenaan dengan kebanyakannya mengkritik pandangan yang dikemukakan.
Majikan, Swan Career yang berpangkalan di Bangkok, pada Jumaat mengeluarkan kenyataan menerusi laman Facebook syarikat, memohon maaf atas kontroversi berkenaan dan menegaskan kenyataan wanita itu tidak mencerminkan pendirian syarikat.
Syarikat berkenaan memaklumkan pihaknya mengambil maklum mengenai komen yang dimuat naik di media sosial itu, yang mencetuskan kebimbangan dan rasa kurang senang dalam kalangan pelanggan, pengikut serta orang ramai.
Menurut syarikat itu, kenyataan berkenaan adalah pandangan peribadi individu terbabit dan tidak mewakili syarikat atau selaras dengan dasar, nilai serta operasi perniagaannya.
Swan Career turut mengesahkan wanita terbabit tidak lagi berkhidmat dengan syarikat itu, namun enggan mengulas lanjut bagi menghormati privasi individu berkenaan serta urusan dalaman berkaitan kakitangan.
Syarikat itu turut menegaskan komitmennya terhadap komunikasi yang berhemah, bertanggungjawab dan beretika, sama ada di tempat kerja mahupun di media sosial, selain mengiktiraf kesan yang boleh timbul daripada kenyataan sedemikian terhadap pelanggan serta masyarakat.
Akta Trafik Jalan Thailand membenarkan pejalan kaki menggunakan bahu jalan sekiranya tiada laluan khas disediakan, selain mewajibkan pemandu memandu dengan berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan membabitkan pejalan kaki.
Sebelum ini, rakaman video kejadian tular menunjukkan kumpulan sami itu berjalan dalam satu barisan menghadap arah kenderaan yang datang, selaras dengan peraturan lalu lintas Thailand. – AGENSI
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L