KUALA LUMPUR – Pelawak dan pelakon, Amir Raja Lawak menunjukkan perkembangan kesihatannya yang positif apabila sudah dipindahkan ke wad biasa selepas menerima rawatan di hospital.
Bagaimanapun, beliau masih memerlukan bantuan oksigen dan berada di bawah pemantauan pasukan perubatan.
Menerusi perkongsian terbaharu di media sosial, beliau meluahkan rasa syukur kerana sudah mampu menggunakan telefon bimbit sendiri, selain berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatannya.
Namun, di sebalik perkembangan itu, Amir mengakui masih berdepan kesakitan yang amat berat sehingga menyifatkan ujian kesihatan berkenaan sebagai pengalaman yang sukar ditanggung.
Menurutnya, kesakitan yang dialami bukan sahaja menyerang bahagian sendi, malah turut membabitkan bahagian dalaman tubuh.
“Kalau hapuskan dosa kecil pun dah sesakit ini, bagaimana keadaan saya jika untuk bersihkan dosa besar saya?
“Ya Allah, tak tertanggung sakit ini. Memang sakit Ya Allah,” luahnya.
Amir turut mendedahkan keadaan dirinya belum stabil sepenuhnya apabila ada kalanya berasa keliru, termenung dan mengalami masalah ingatan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Malah, beliau menganggarkan peluang untuk kembali kepada keadaan kesihatan seperti sebelum ini masih belum dapat dipastikan, dengan proses pemulihan memerlukan usaha dan kesabaran yang tinggi.
Katanya, untuk bernafas dengan lebih baik sekalipun masih menjadi cabaran, apatah lagi melakukan pergerakan fizikal.
Beliau juga tidak mampu bercakap terlalu lama kerana keadaan itu boleh menyebabkan dirinya terbatuk-batuk.
Sehubungan itu, Amir perlu menjalani proses pemulihan secara berperingkat bagi melatih paru-parunya kembali berfungsi dengan baik dan menyesuaikan diri dengan keadaan tubuh semasa.
Jelasnya, proses berkenaan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana tubuhnya masih memerlukan masa untuk pulih.
Dalam perkembangan sama, Amir memohon maaf kepada orang ramai yang meninggalkan komen serta menghubunginya melalui peti masuk media sosial dan WhatsApp kerana tidak mampu membalas setiap mesej.
Bagaimanapun, beliau memberitahu masih membaca komen dan cuba menjawab mesej satu demi satu mengikut kemampuan fizikalnya.
Malah, untuk menyiapkan satu perkongsian mengenai keadaan kesihatannya itu, Amir mengambil masa lebih sejam berikutan keterbatasan tenaga dan keupayaan dirinya ketika ini.
Perkongsian tersebut mengundang simpati orang ramai yang terus menitipkan doa agar pelawak berkenaan diberikan kesembuhan, dipermudahkan urusan rawatan dan kembali pulih seperti sediakala.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
