KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung penyebaran dokumen atau minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan perkembangan awal siasatan perlu dimaklumkan kepada rakyat dalam tempoh 72 jam.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah berkata, penyebaran dokumen berkenaan bukan isu kecil kerana ia membabitkan rekod sulit berkaitan pelaksanaan kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau mempersoalkan bagaimana dokumen sepenting itu boleh tersebar kepada umum tanpa penjelasan rasmi yang meyakinkan daripada pihak kerajaan.
Menurutnya, kerajaan perlu menjelaskan sama ada dokumen berkenaan telah dinyahklasifikasikan secara rasmi atau berlaku kebocoran maklumat, selain mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.
“Jika benar dokumen itu telah dinyahklasifikasikan, kerajaan wajib menjelaskan bila keputusan itu dibuat, atas kuasa siapa, dan sama ada perkenan Yang di-Pertuan Agong telah diperoleh,” katanya dalam kenyataan media.
Mohd Hairi turut menyifatkan kegagalan memberikan penjelasan tuntas berhubung perkara itu sebagai persoalan serius terhadap keupayaan pentadbiran kerajaan dalam menjaga amanah, kerahsiaan dan integriti institusi.
Beliau secara sinis mempersoalkan sama ada perkara itu mencerminkan tatakelola kerajaan Madani yang selama ini sering menekankan prinsip integriti dan ketelusan dalam pentadbiran.
Katanya, sama ada penyebaran dokumen itu berpunca daripada proses penyahklasifikasian yang tidak dijelaskan atau kebocoran tanpa kawalan, kedua-duanya memerlukan penjelasan serta tindakan sewajarnya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan mengarahkan siasatan menyeluruh dan mengumumkan perkembangan awal dalam tempoh tidak melebihi 72 jam, termasuk pihak yang mengendalikan siasatan serta tindakan susulan yang bakal diambil.
Beliau menegaskan, mana-mana individu yang didapati cuai atau menyalahgunakan kedudukan perlu dipertanggungjawabkan tanpa mengira pangkat, jawatan atau fahaman politik.
Dalam masa sama, Mohd Hairi mengingatkan kerajaan supaya tidak menggunakan alasan siasatan sedang berjalan sebagai sebab untuk mengelak daripada memberikan penjelasan kepada rakyat.
“Jangan pula kerajaan pantas bertindak apabila rakyat bersuara mengkritik, tetapi lembap apabila kelemahan pentadbiran sendiri terdedah.
“Rakyat mahu jawapan dan tindakan, bukan kenyataan berlapik yang tidak menyelesaikan apa-apa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan desakan supaya penyebaran dokumen itu disiasat tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mana-mana pihak mempertikai atau menggugat kedudukan Yang di-Pertuan Agong.
Sebaliknya, semua pihak perlu menghormati institusi Raja Berperlembagaan, menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menggunakan saluran undang-undang yang sah dalam menangani pertikaian berkenaan.
Mohd Hairi berkata, kerajaan Madani perlu membuktikan prinsip integriti yang sering dilaungkan bukan sekadar slogan politik, sebaliknya diterjemahkan melalui tindakan pantas, telus dan tegas.
“Jika kerajaan sendiri gagal menjaga tatakelola, siapa lagi yang patut dipertanggungjawabkan?” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
