Kritikan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana membaca teks ketika menyampaikan ucapan di pentas antarabangsa mengundang satu persoalan besar, iaitu sejak bila kemampuan berpidato tanpa teks menjadi ukuran mutlak kewibawaan seorang pemimpin?
Persoalan itu dibangkitkan tokoh akademik, Tan Sri Prof. Dato’ Dr. Nordin Kardi yang menyifatkan sindiran terhadap Hamzah sebagai kritikan tidak berasas, apatah lagi apabila amalan membaca teks dalam forum antarabangsa bukan sesuatu yang asing dalam kalangan pemimpin dunia.
Malah, menurut beliau, sejarah diplomasi antarabangsa memperlihatkan ramai pemimpin tersohor menggunakan teks yang disediakan lebih awal ketika menyampaikan ucapan di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Antaranya Presiden pertama Indonesia, Soekarno, yang membacakan ucapan berjudul To Build the World Anew ketika Sidang Umum PBB pada 30 September 1960. Ucapan bersejarah itu kemudiannya mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai sebahagian daripada Memory of the World.
Begitu juga Nelson Mandela, Barack Obama, Tun Dr. Mahathir Mohamad, John F. Kennedy, Angela Merkel dan Narendra Modi yang menggunakan teks atau bantuan teleprompter dalam menyampaikan ucapan rasmi masing-masing di forum antarabangsa.
Hakikatnya, membaca teks bukan kelemahan. Dalam diplomasi, setiap perkataan mempunyai nilai dan implikasi. Kesilapan menyebut sesuatu fakta, pendirian atau komitmen negara boleh membawa kesan yang jauh lebih besar berbanding kegagalan menyampaikan ucapan secara spontan.
Perlu difahami, ucapan di pentas antarabangsa tidak sama dengan ceramah politik di hadapan penyokong parti.
Di pentas domestik, seseorang pemimpin mungkin bebas menggunakan pendekatan spontan, menyelitkan jenaka, bermain dengan emosi khalayak atau mengubah susunan hujah mengikut reaksi pendengar.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Namun, di pentas antarabangsa, khususnya forum PBB, setiap kenyataan mewakili pendirian rasmi atau pandangan politik sesebuah negara. Ia turut diperhatikan oleh kerajaan asing, diplomat, media antarabangsa dan masyarakat dunia.
Justeru, penyediaan teks bukan sekadar untuk memudahkan seseorang membaca ucapan, tetapi memastikan mesej yang hendak disampaikan tepat, tersusun dan tidak tersasar daripada tujuan asal.
Dalam konteks ini, Hamzah tidak sepatutnya dinilai berdasarkan sama ada beliau membaca teks atau bercakap tanpa skrip. Penilaian yang lebih adil ialah melihat kandungan ucapannya, ketajaman hujah, penguasaan isu serta keupayaan membawa suara Malaysia dalam perbahasan antarabangsa.
Sindiran kononnya Malaysia lebih baik menghantar murid tadika jika wakilnya sekadar membaca teks memperlihatkan bagaimana perbezaan pendekatan komunikasi boleh dijadikan modal memperlekeh seseorang tokoh politik.
Ironinya, jika membaca teks dianggap kelemahan, maka sebahagian besar pemimpin dunia yang pernah menggunakan skrip ucapan juga sepatutnya menerima kritikan serupa.
Tetapi, dunia tidak menilai kepimpinan seseorang berdasarkan keupayaan menghafal ucapan atau bercakap panjang tanpa melihat kertas.
Barack Obama terkenal dengan kemahiran berpidato, tetapi tetap menggunakan teleprompter dalam banyak ucapan rasmi. Dr. Mahathir pula sering menyediakan teks teratur ketika menyampaikan pendirian Malaysia mengenai ketidakadilan global.
Persoalannya, adakah penggunaan teks mengurangkan kewibawaan mereka sebagai pemimpin? Sudah tentu tidak. Malah, keupayaan menyampaikan mesej dengan tepat, meyakinkan dan berkesan jauh lebih penting daripada sekadar mempamerkan kebolehan bercakap tanpa persediaan.
Bagaimanapun, mempertahankan hak Hamzah menggunakan teks tidak bermaksud beliau harus terlepas daripada penilaian terhadap mutu ucapannya. Jika kandungan ucapan lemah, hujah tidak meyakinkan atau gagal membawa kepentingan Malaysia, perkara itulah yang wajar dikritik.
Begitu juga jika penyampaian terlalu bergantung pada teks sehingga menjejaskan hubungan mata, interaksi dengan khalayak atau kefahaman terhadap isu yang dibahaskan.
Namun, menjadikan helaian kertas di tangan seseorang pemimpin sebagai ukuran kebodohan atau ketidaklayakan adalah pendekatan yang terlalu cetek.
Seperti ditegaskan Dr. Nordin, pemimpin yang berucap secara spontan tanpa teks juga bukan semestinya lebih hebat. Sejarah turut memperlihatkan beberapa tokoh dunia yang berucap terlalu panjang sehingga mencetuskan kontroversi dan melanggar kebiasaan protokol diplomatik.
Akhirnya, ukuran sebenar seseorang pemimpin bukan terletak pada jumlah helaian teks yang dibawanya, tetapi pada kebijaksanaan, keberanian, penguasaan isu dan nilai pemikiran yang disampaikan.
Hamzah boleh dikritik kerana pendiriannya, boleh dipersoalkan kerana hujahnya dan boleh dinilai berdasarkan keberkesanan ucapannya. Tetapi, memperlekehkannya hanya kerana membaca teks, itu bukan kritikan terhadap kepimpinan. Itu sekadar menjadikan gaya penyampaian sebagai senjata politik.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
