Oleh: Nur Aimi Liyana Azmi
PEKANBARU, Indonesia – Golongan remaja kini berdepan pelbagai cabaran berkaitan sosial, emosi, kesihatan mental dan pembentukan identiti yang memerlukan perhatian serta sokongan berterusan daripada masyarakat.
Pendedahan rasmi Menteri Kesihatan Republik Indonesia, Budi Gunadi Sadikin menunjukkan hampir 10 peratus daripada kira-kira tujuh juta kanak-kanak dan remaja yang menjalani saringan menerusi Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma (Cek Kesehatan Gratis, CKG) bagi tempoh 2025 hingga 2026 dikesan mengalami masalah kesihatan jiwa.
Perkembangan tersebut menjadi peringatan bahawa usaha pencegahan, pendidikan dan sokongan emosi dalam kalangan remaja perlu diperkasakan bagi memastikan kesejahteraan generasi muda terus terpelihara.
Sehubungan itu, Kelab Prime Mover, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban menganjurkan Program Remaja Holistik di SMA Negeri 1 Pekanbaru, Indonesia pada 14 Ogos lalu.
Program yang mengangkat isu krisis kesihatan mental sebagai antara fokus utama itu disertai 25 mahasiswa Kelab Prime Mover UiTM yang bertindak sebagai fasilitator kepada 85 pelajar berusia antara 15 hingga 17 tahun.

Program Remaja Holistik merupakan inisiatif sukarelawan antarabangsa yang dilaksanakan berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen UiTM dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah mempunyai kepekaan terhadap isu sosial serta pembangunan komuniti di peringkat global.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kerjasama rentas negara antara mahasiswa Malaysia dan pelajar Indonesia itu turut memperkukuh hubungan pendidikan kedua-dua negara, khususnya dalam usaha membangunkan potensi dan kesejahteraan golongan remaja.
Program itu memberi tumpuan kepada empat komponen utama pembangunan remaja, iaitu Modul Perkembangan Diri dan Transformasi Remaja, Modul Kesihatan Mental Remaja, Modul Seksualiti Remaja serta Modul Motivasi dan Bimbingan Diri Remaja.
Modul Perkembangan Diri dan Transformasi Remaja memberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah, identiti positif dan penghayatan nilai murni, manakala Modul Kesihatan Mental Remaja membincangkan pengurusan tekanan emosi serta aspek kesejahteraan psikologi.
Modul Seksualiti Remaja pula memberikan pendedahan berkaitan pendidikan seksual yang sihat dan bertanggungjawab, serta Modul Motivasi dan Bimbingan Diri Remaja bertujuan menyemarakkan semangat, membina cita-cita serta memperkukuh daya tahan peserta dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Penyampaian modul secara berstruktur, interaktif dan mudah difahami membolehkan peserta memperoleh pengetahuan yang relevan untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian, dengan pendekatan itu turut membantu meningkatkan kesedaran kendiri mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan fizikal, mental dan emosi.

Penasihat Kelab Prime Mover UiTM, Khairolizwan Harry berkata, pembangunan pendidikan yang holistik tidak seharusnya hanya berorientasikan pencapaian akademik, sebaliknya perlu disokong pembentukan moral, sahsiah dan jati diri pelajar.
“Program seperti ini dapat memupuk semangat kerjasama, komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan mahasiswa, selain melahirkan sukarelawan yang lebih prihatin terhadap isu semasa melibatkan remaja.
“Setiap pengalaman dalam program ini mengukuhkan nilai kepimpinan dan empati dalam diri mahasiswa, menjadikan mereka lebih bersedia untuk menjadi agen perubahan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Remaja Holistik, Muhammad Zulhusni Mohd Shahrizan berkata, program itu bukan sekadar platform perkongsian ilmu, malah menjadi medium untuk mengeratkan hubungan ukhuwah dan meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan belia serantau.
“Kami berharap pendedahan menerusi modul-modul yang disediakan dapat memberi impak secara langsung kepada pelajar dalam menguruskan cabaran kesihatan mental, emosi dan sosial secara matang.
“Program ini membuktikan peranan belia sebagai pemangkin perubahan amat signifikan dalam menyokong serta memperkasa satu sama lain merentasi sempadan negara,” jelas beliau.
Penganjuran Program Remaja Holistik di SMA Negeri 1 Pekanbaru membuktikan komitmen mahasiswa Kelab Prime Mover UiTM dalam memperluas peranan kesukarelawanan dan pembangunan komuniti ke peringkat antarabangsa.
Dengan memberi penekanan terhadap pembentukan diri, kesihatan mental, pendidikan seksualiti serta motivasi, program berkenaan diharap dapat menyumbang kepada pembangunan generasi muda yang lebih berdaya tahan, berpengetahuan dan bertanggungjawab.
Usaha rentas negara ini sekali gus menyokong aspirasi SDG dalam memastikan golongan muda mendapat peluang untuk berkembang secara menyeluruh serta membina masa depan yang lebih sejahtera tanpa dibatasi oleh sempadan geografi.
Penulis adalah Ahli Jawatankuasa Global Volunteer Mission to West Sumatra-Riau, Indonesia, Kelab Prime Mover UiTM, UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
