Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang bakal menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] bagi memperkukuh keupayaan negara menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks dan bersifat global.
RUU tersebut dibahaskan pada 1 Julai 2026 dengan penyertaan seramai 48 Ahli Dewan Rakyat yang membangkitkan pelbagai isu termasuk hak asasi manusia, privasi, kebebasan bersuara, semak dan imbang serta skop pelaksanaannya.
Turut menjadi perhatian dalam perbahasan ialah cabaran berkaitan teknologi kecerdasan buatan (AI), kandungan deepfake, perlindungan terhadap wanita, kanak-kanak dan warga emas, selain aspek penguatkuasaan, hukuman, pencegahan serta literasi siber.
Kerajaan menegaskan penggubalan RUU Jenayah Siber 2026 membuktikan komitmennya dalam mewujudkan ruang siber yang lebih selamat, berdaya tahan dan dipercayai oleh rakyat.
RUU berkenaan juga dilihat sebagai langkah penting dalam melengkapkan kerangka perundangan sedia ada negara selaras dengan obligasi antarabangsa di bawah Council of Europe Convention on Cybercrime atau Konvensyen Budapest serta United Nations Convention Against Cybercrime.
Kerajaan turut merakamkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang menyokong kelulusan RUU tersebut serta pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam proses penggubalannya.
Antara agensi yang memainkan peranan penting dalam penyediaan RUU itu ialah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Peguam Negara (AGC), Parlimen Malaysia, kementerian dan agensi berkaitan, Badan Peguam Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Kelulusan RUU Jenayah Siber 2026 dijangka memperkukuh usaha negara dalam mendepani ancaman keselamatan siber yang semakin berkembang seiring kemajuan teknologi digital.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L