Lima warga China cedera kereta terjunam dalam gaung di Machang

KOTA BHARU – Lima warga China termasuk dua wanita cedera selepas kereta dinaiki mereka terjunam dalam gaung di tapak projek pembinaan culvert di Kilometer 41, Jalan Kota Bharu–Kuala Krai dekat Machang, malam tadi.  

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md. Nor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu daripada orang awam pada jam 12.01 tengah malam.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar jam 11.50 malam membabitkan sebuah Toyota Prius yang dipandu lelaki warga China berusia 66 tahun bersama empat lagi penumpang senegara.  

“Semua mereka dalam perjalanan dari Temangan, Machang ke Tok Bali, Pasir Puteh dengan berpandukan aplikasi peta navigasi.

“Kenderaan itu dipercayai memasuki kawasan tapak projek culvert yang masih dalam pembinaan dan belum dibuka kepada orang awam sebelum terjatuh ke dalam gaung,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Azuhar berkata, ssemua mangsa iaitu tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 66 tahun dihantar ke Hospital Machang untuk mendapatkan rawatan lanjut.  

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.  

Beliau turut menasihati semua pengguna jalan raya supaya sentiasa peka terhadap papan tanda amaran, kon dan penghadang di kawasan kerja pembinaan serta tidak bergantung sepenuhnya pada aplikasi navigasi, khususnya pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.  

Sementara itu, Komander Operasi PBK 1 Mohd Fadzil Musa ketika dihubungi Bernama berkata, dua mangsa cedera parah akibat tersepit dalam kenderaan iaitu Wang Fuying, 59, dan Wang Yumi, 61, manakala tiga lagi yang cedera ialah Pan Jieyin, 66; Yang Chuan, 40; dan Zeng Guojin, 65. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *