Kerajaan Johor Sanggah Dakwaan Rafizi, Tegas Isu Tanah Kampung Melayu Majidi Diurus

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri Johor menegaskan dakwaan kononnya kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan berhubung isu tanah penduduk Kampung Melayu Majidi adalah tidak benar, tidak berasas dan mengelirukan rakyat.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memudahkan urusan penyambungan tempoh pajakan tanah serta membantu meringankan beban penduduk.

“Saya merujuk kepada dakwaan Datuk Seri Rafizi Ramli yang cuba membina persepsi seolah-olah Kerajaan Negeri Johor ‘tidak melakukan apa-apa’ terhadap isu tanah penduduk Kampung Melayu Majidi.

“Dakwaan ini tidak benar, tidak berasas, dan mengelirukan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.

Menurut beliau, sehingga 31 Mei lalu, rekod Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru menunjukkan kerajaan telah memperkenalkan pendekatan pentadbiran yang dipermudahkan melalui Seksyen 90A Kanun Tanah Negara (KTN), menawarkan diskaun premium 50 peratus, mengadakan empat sesi turun padang membabitkan 91 penduduk serta meluluskan 35 permohonan yang telah menerima Notis 5A.

Beliau berkata, Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru turut membuka kaunter khas permohonan penyambungan tempoh pajakan di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi bermula 29 Jun hingga 3 Julai, dengan seramai 77 penduduk mengemukakan permohonan dalam tempoh dua hari.

“Dalam masa dua hari sahaja, seramai 77 penduduk telah tampil mengemukakan permohonan. Angka ini bukan sahaja membuktikan kerajaan sedang bertindak secara aktif dan berterusan, malah menunjukkan keyakinan penduduk terhadap pendekatan yang diambil.” kata beliau.

Mohd Hairi turut mempersoalkan tindakan pihak yang kini lantang mengkritik sedangkan mereka pernah berada dalam kedudukan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

“Menjanjikan sesuatu yang terikat undang-undang, sambil menuding jari dari luar, bukanlah perjuangan, itu politik murahan yang menjadikan penduduk sebagai modal.”

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan hak penduduk Kampung Melayu Majidi serta memastikan segala urusan pemilikan tanah dipermudahkan mengikut lunas undang-undang.

“Kebajikan dan urusan pemilikan tanah penduduk akan terus dijaga dan dipermudahkan. Itu komitmen kami, dibuktikan dengan tindakan, bukan sekadar kata-kata.” ujar beliau.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *