MELAKA: Seorang lelaki warga Bangladesh yang menghilangkan diri hampir tiga tahun, dihukum penjara enam bulan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, atas kesalahan memiliki lebih 35,000 liter minyak diesel tanpa lesen, tiga tahun lalu.
Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin memutuskan hukuman itu terhadap tertuduh, Altaf Aziz Kardar, 42, selepas menimbang rayuannya, keseluruhan fakta kes dan hujah pendakwaan.
Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan, namun lelaki itu melangsaikannya.
Berdasarkan pertuduhan, Altaf Aziz bersama-sama dua individu lain didakwa mempunyai kawalan ke atas 35,653 liter diesel yang juga barang kawalan berjadual di sebuah stor di Jalan PK 20, Kawasan Perindustrian Krubong, pada jam 3 petang, 6 Oktober 2023.
Dia didakwa berurusan dengan minyak diesel berkenaan secara runcit atau borong tanpa lesen sah, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.
Berdasarkan fakta kes, pada 6 Oktober 2023, kira-kira jam 5.30 petang, sepasukan Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Putrajaya yang menyerbu sebuah premis di Jalan PK 20, Kawasan Perindustrian Krubong, yang dijadikan stor penyimpanan serta tempat pemindahan minyak diesel tanpa permit khas atau Lesen Borong Barang Kawalan Berjadual (CSA) yang sah.
Ketika serbuan, tiga pekerja termasuk tertuduh sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel dan dia mengaku bekerja di premis itu dengan gaji RM1,800 sebulan serta bertanggungjawab mengendalikan penyimpanan, pemindahan dan pemuatan bahan api itu ke dalam tangki dan serta untuk dijual kepada pelanggan.
Pasukan serbuan merampas barang kes termasuk cecair disyaki diesel, beberapa tangki skid, hos minyak dan lori tangki serta hasil analisa sampel minyak oleh Jabatan Kimia mengesahkan ia minyak diesel.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam mengaku salah dan merayu hukuman ringan serta tidak dipenjarakan kerana perlu menanggung isteri, dua anak kecil dan ibu bapa di Bangladesh.
Pegawai Pendakwa KPDN, Muhammad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri dan Norhysham Md Noor bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat tidak melakukan kesalahan sama.
“Tertuduh ditangkap pada 6 Oktober 2023, namun menghilangkan diri ketika serahan saman dilakukan sehingga ditangkap semula pada 11 Jun 2026.
“Ini kes lama, sebagai warga Bangladesh, tertuduh sepatutnya akur pada perundangan di Malaysia dan tidak melakukan kesalahan,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001