Aksi kurang sopan Cunha cetus kemarahan peminat Jepun

HOUSTON: Bintang Manchester United, Matheus Cunha mengundang kecaman hebat susulan tindakan ‘kurang sopan’ sejurus selepas Brazil menyingkirkan Jepun pada pusingan 32 terakhir Piala Dunia dengan terus menyindir lawan menerusi hantaran di media sosial.

Kemenangan dramatik Brazil disahkan menerusi jaringan minit akhir pemain Arsenal, Gabriel Martinelli pada minit keenam masa kecederaan, sekali gus merentap baki perjuangan skuad Tokyo itu.

Ketika pemain dan penyokong Jepun sedang meratapi kekalahan terbabit, Cunha dirakam menunjukkan isyarat lima jari merujuk kepada jumlah kejuaraan Piala Dunia yang pernah dimenangi Brazil.

Pemain itu juga dilaporkan berkata: “Kami ada lima (piala). Tolong hormat”.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan peminat bola sepak di media sosial yang menyifatkan kelakuannya sebagai keterlaluan.

“Tunjukkan sedikit rasa hormat. Rakyat Jepun adalah bangsa yang paling merendah diri di Piala Dunia ini dan sangat mengerikan melihat Matheus Cunha tidak menghormati mereka sedemikian rupa,” kata seorang peminat.

“Ia berbeza jika penyokong mencemuh anda, tetapi apabila mereka tidak melakukannya, tindakan ini sangat tidak boleh diterima,” selar seorang lagi netizen.

Bagaimanapun, situasi menjadi agak mengelirukan apabila Cunha pada masa sama turut dipuji kerana dilihat menenangkan pemain Jepun, Ao Tanaka selepas tamat perlawanan.

Malah, ada peminat yang sempat memujinya dengan menyifatkan tindakan itu sebagai ‘aksi berkelas tinggi daripada Cunha.’

Namun, pujian itu tidak bertahan lama apabila pemain berusia 27 tahun itu bertindak ‘menuang minyak ke dalam api’ menerusi hantaran terbaharu di akaun media sosialnya.

Cunha memuat naik sekeping foto yang memaparkan dia menuding jari ke arah pemain simpanan Jepun, Kento Shiogai, berserta kapsyen berbentuk sindiran.

“Sekarang kamu sudah tahu sedikit sebanyak mengenai kami. Tidak pernah berada di atas sesiapa, tetapi tidak juga di bawah sesiapa,” tulisnya dengan meletakkan emoji ciuman, bendera Brazil serta runut bunyi lagu ‘Humble’ nyanyian Kendrick Lamar.

Dalam aksi sengit itu, Kaishu Sano terlebih dahulu membuka tirai jaringan buat Jepun pada minit ke-30 sebelum rakan sepasukan Cunha di United, Casemiro, menyamakan kedudukan sepuluh minit selepas babak kedua bermula.

Perlawanan kelihatan menghala ke masa tambahan sebelum pemain Newcastle, Bruno Guimaraes melorongkan bola kemas untuk disudahkan oleh Martinelli bagi memastikan kemenangan mutlak milik Selecao.

Sementara itu, legenda Brazil, Neymar sekadar menjadi penonton di bangku simpanan selepas pengendali pasukan, Carlo Ancelotti memutuskan untuk merehatkan bekas bintang PSG dan Barcelona itu.

“Saya menyimpan Neymar untuk masa tambahan. Saya sudah berbincang dengannya, jika kami tidak menyamakan kedudukan, dia akan dibawa masuk pada minit ke-60 atau 65.

“Namun selepas kami menyamakan kedudukan, saya tidak mahu mengubah watak pasukan kerana kami sedang mengawal permainan,” kata Ancelotti. – AGENSI

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *