PDRM sedia teliti syor pakaian tahanan wanita Islam patuhi syariah – Menteri

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan kerangka perundangan dan pentadbiran sedia ada menyediakan perlindungan sewajarnya terhadap kebajikan serta privasi tahanan wanita tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata spesifikasi pakaian tahanan yang digunakan ketika ini masih sesuai dan memenuhi keperluan dari segi keselamatan, keselesaan, kebersihan serta pengurusan lokap.

“Bagaimanapun, selaras dengan prinsip penambahbaikan berterusan dan keperluan semasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedia meneliti cadangan penambahbaikan spesifikasi pakaian tahanan wanita termasuk penyediaan pakaian yang lebih mematuhi syariah serta bersesuaian bagi tahanan wanita beragama Islam,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di lawan sesawang Parlimen.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) berhubung kesediaan kerajaan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) pakaian lokap dan menyediakan pakaian menutup aurat yang sempurna kepada tahanan wanita Muslimah demi menjaga maruah, hak dan kehormatan mereka selaras tuntutan Syariah.

Sebelum ini, beberapa pihak mempertikai pakaian lokap dipakai seorang guru ketika proses penahanan reman, 13 April lalu kerana didakwa tidak menutup sepenuhnya aurat, sekali gus membawa kepada saranan menambah baik pakaian lokap untuk wanita.

Saifuddin berkata Kaedah 13A di bawah Kaedah-Kaedah Lokap (Pindaan) 2025 menetapkan setiap tahanan perlu dibekalkan pakaian, kasut dan keperluan lain sebagaimana yang ditentukan oleh pegawai penjaga lokap.

Beliau berkata peruntukan itu bertujuan memperkukuh tanggungjawab pihak berkuasa dalam memastikan kebajikan dan keperluan asas setiap tahanan sentiasa diberi perhatian sepanjang tempoh berada di lokap.

“Dari aspek penyediaan pakaian pula, Arahan Pentadbiran Bilangan 16 Tahun 2009 berkaitan Pakaian Tahanan Dalam Lokap telah menetapkan bahawa tahanan yang ditempatkan di lokap polis hendaklah memakai pakaian tahanan yang disediakan.

“Selain itu, satu seragam yang sesuai diwujudkan bagi memenuhi keperluan serta kesesuaian tahanan sepanjang tempoh tahanan.

“Spesifikasi pakaian tahanan sedia ada masih sesuai digunakan dan memenuhi keperluan keselamatan, keselesaan, kebersihan serta pengurusan lokap,” katanya. – Berita Harian

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *