Puad Dakwa Ada Rundingan Sulit UMNO-PAS Menjelang PRN Johor

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi mendakwa terdapat usaha rundingan secara senyap antara beberapa pemimpin UMNO dan PAS bagi membentuk kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, antara persetujuan awal yang dibincangkan ialah PAS tidak akan bertanding di Johor bagi memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) bertanding di semua kerusi.

Beliau juga berkata, beberapa pemimpin UMNO, termasuk Setiausaha Politik Presiden UMNO, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, ketika itu yakin rundingan tersebut mampu membawa kemenangan besar kepada BN di Johor.

“Dato’ Megat percaya rundingan itu berjaya dan UMNO akan menang besar di Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Puad berkata, isu tersebut pernah dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 10 Jun, namun beliau bersama beberapa ahli lain mengingatkan bahawa rundingan dengan PAS perlu dibuat atas dasar strategi pilihan raya, bukannya atas agenda penyatuan ummah semata-mata.

“Kalau kerjasama itu bertujuan penyatuan ummah, saya berpandangan ia tidak akan berjaya. Lebih baik fokus kepada Musyawarah Nasional yang dipengerusikan Tan Sri Ghani Othman,” katanya.

Beliau turut mendakwa terdapat pemimpin UMNO yang berpandangan bahawa kerjasama dengan PAS mampu memberi impak lebih besar kepada kemenangan BN berbanding penglibatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau “Bossku” dalam kempen pilihan raya.

“Beberapa pemimpin UMNO percaya UMNO akan menang besar di Johor. Ada juga yang berpandangan kalau Bossku masih di dalam semasa PRN Johor tidak mengapa. Kerjasama UMNO-PAS ini lebih besar impaknya walaupun Bossku tidak dapat membantu kempen,” katanya.

Namun begitu, beliau mendakwa perundingan tersebut akhirnya gagal, sekali gus menyebabkan strategi politik BN menjadi tidak tersusun serta mengkritik pemilihan calon BN yang disifatkannya tidak menepati aspirasi golongan muda kerana masih menampilkan calon kitar semula dan berprestasi sederhana.

“Disebabkan itu ada pemimpin UMNO menjadi terlalu ego dan terlalu yakin. Malangnya kerjasama PAS-UMNO gagal. Politik BN jadi caca-marba,” katanya.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *