Waris Nafi Palsukan Borang, MAIS Arah Siasatan Menyeluruh Segera

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memberi jaminan siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tentang isu kelewatan pengebumian seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang.

Menurut Pengerusi MAIS, Senator Datuk Setia Haji Salehuddin Saidin, pihaknya mengambil maklum kenyataan awal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dibuat berdasarkan maklumat daripada pengurusan Masjid Nurul Hidayah serta laporan polis yang telah dibuat oleh pihak masjid, waris dan BKS.

“MAIS menasihatkan semua pihak memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara telus dan adil.

“Semua dapatan siasatan, sama ada melibatkan unsur jenayah, kecuaian atau salah faham komunikasi antara pihak-pihak yang terlibat akan diteliti dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Bapa Allahyarham Siti Adawiyah, Muhammad Hasrul Ghazali, 41, berkata beliau tidak pernah meminta pihak Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam menguruskan jenazah anaknya seperti yang didakwa sebelum ini.

Sebaliknya, beliau menjelaskan segala urusan pengurusan jenazah, termasuk mengambil jenazah dari Hospital Ampang, urusan seperti mandi, kafan serta kebumi jenazah telah diuruskan oleh Badan Kebajikan Salaturrahim (BKS), yang turut disertai oleh beliau sebagai ahli.

“Selepas semua urusan selesai, saya hanya pergi ke Masjid Nurul Hidayah untuk mendapatkan Borang Kebenaran Pengebumian daripada seorang ahli jawatankuasa masjid.

“Berlaku sedikit kekeliruan apabila saya diminta membawa salinan sijil kematian berwarna biru ke tanah perkuburan sebelum permit itu dipegang oleh seorang wanita yang juga ahli Lembaga Kariah,” katanya dalam sidang media.

Menurut beliau, keluarga kemudiannya membawa jenazah ke Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana hanya dengan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam berwarna putih dan kuning yang masih berada dalam simpanan.

Katanya, pada peringkat awal, pihak tanah perkuburan membenarkan pengebumian diteruskan sebelum dua anggota polis hadir memaklumkan proses itu perlu dihentikan kerana terdapat laporan polis dibuat.

Sementara itu, menurut penjelasan yang dikongsikan BKS, pihaknya mendakwa berlaku kekeliruan apabila permit pengebumian didakwa diambil semula oleh pihak pengurusan masjid selepas keluarga memilih BKS untuk menguruskan jenazah.

BKS turut mendakwa pihak polis mengarahkan pengebumian dihentikan sementara berikutan laporan yang dibuat sehingga keluarga terpaksa menunggu lebih sejam sebelum jenazah dibenarkan dikebumikan.

MAIS turut mengarahkan satu pertemuan segera melibatkan wakil MAIS, JAIS, pengurusan Masjid Nurul Hidayah, BKS serta waris bagi mencari penyelesaian terbaik.

Seterusnya, MAIS akan menilai semula prosedur pengurusan jenazah Islam di negeri itu bagi mengenal pasti sebarang kelemahan yang memerlukan penambahbaikan agar urusan pengebumian dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, teratur dan mematuhi tuntutan syarak.

Setakat ini, siasatan polis berhubung insiden berkenaan masih diteruskan, manakala kedua-dua pihak tampil dengan penjelasan masing-masing mengenai punca kelewatan yang berlaku.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *