Jenazah Siti Adawiyah: Waris Pertikai JAIS

Oleh NurFarhana Zulkeply

KUALA LUMPUR – Kelewatan pengebumian jenazah remaja berusia 14 tahun, Allahyarhamah Siti Adawiyah Muhammad Hasrul, yang tertangguh lebih sejam di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang terus mencetuskan polemik apabila keluarga mendakwa difitnah, manakala Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menegaskan pihak masjid bukan punca insiden berkenaan.

Allahyarhamah, anak sulung daripada dua beradik dan ahli kariah Masjid Nurul Hidayah, Kampung Pandan Dalam, meninggal dunia pada 25 Jun lalu selepas menerima rawatan selama empat hari di Hospital Ampang akibat kebocoran usus yang menyebabkan jangkitan merebak ke organ dalaman.

Keluarga mendakwa kelewatan pengebumian berlaku selepas permit penguburan dan borang permohonan pengebumian masih berada dalam pegangan pihak masjid, sekali gus menyebabkan urusan pengebumian tidak dapat disempurnakan mengikut tempoh yang sewajarnya.

Menerusi kenyataan yang dikongsi wakil keluarga, mereka turut mempertikaikan hasil siasatan JAIS yang didakwa hanya mengambil keterangan daripada pihak masjid tanpa mendapatkan penjelasan daripada waris si mati.

“Kenyataan JAIS menuduh kelewatan jenazah berlaku disebabkan keluarga si mati mengemukakan borang permohonan pengebumian palsu adalah satu fitnah terbesar,” menurut kenyataan keluarga.

Waris turut mencabar pihak berkuasa agama mendedahkan dokumen yang didakwa palsu serta menyerahkannya kepada polis bagi tujuan siasatan.

Mereka juga mempersoalkan tindakan JAIS yang didakwa mengeluarkan kenyataan rasmi tanpa terlebih dahulu mengadakan perbincangan bersama semua pihak yang terlibat termasuk ahli keluarga si mati.

Dalam masa sama, keluarga menyuarakan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang mengaitkan musibah menimpa Allahyarhamah sebagai balasan hidup tanpa mengetahui fakta sebenar kejadian.

Keluarga turut memaklumkan bahawa tindakan undang-undang akan dipertimbangkan terhadap mana-mana pihak yang mengeluarkan atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah sehingga menjejaskan reputasi keluarga Allahyarhamah.

Sementara itu, JAIS dalam kenyataan medianya pada 27 Jun menegaskan kelewatan pengebumian bukan berpunca daripada pihak masjid.

Menurut JAIS, bapa si mati hadir ke Masjid Nurul Hidayah pada jam 10.30 pagi untuk mendapatkan Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam sebelum dokumen berkenaan dikeluarkan pada jam 11.15 pagi selepas pihak masjid menerima Daftar Kematian asal.

Bagaimanapun, jabatan itu mendakwa jenazah telah dibawa ke tanah perkuburan tanpa dokumen lengkap sehingga menyebabkan urusan pengebumian tidak dapat diselesaikan.

JAIS turut mendakwa terdapat Borang Permohonan Pengebumian Jenazah Islam yang dikemukakan kepada pengurusan tanah perkuburan dipercayai palsu dan satu laporan polis telah dibuat pada 26 Jun lalu berhubung perkara itu.

“JAIS menafikan kelewatan disebabkan pihak masjid, sebaliknya kelewatan ini berlaku kerana kekeliruan pihak waris yang telah menyerahkan sepenuhnya urusan pengebumian kepada BKS yang tiada hubungan dengan pihak masjid,” menurut kenyataan itu.

JAIS turut menafikan dakwaan bahawa pihak masjid menuntut bayaran RM1,400 daripada waris bagi membolehkan urusan pengebumian dilaksanakan.

“Pengurusan jenazah orang Islam hendaklah disegerakan dan tidak dilengahkan disebabkan kepentingan peribadi pihak tertentu,” tegas JAIS.

Kes berkenaan menjadi perhatian umum selepas tular di media sosial, dengan kedua-dua pihak kini mempertahankan pendirian masing-masing berhubung punca sebenar kelewatan pengebumian Allahyarhamah Siti Adawiyah.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *