“Tidak takut mati” – Sheikh Hasina tetap mahu pulang ke Bangladesh

NEW DELHI – Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang kini dalam buruan, berikrar akan kembali ke negaranya pada tahun ini walaupun berdepan hukuman mati.

Dalam wawancara kepada media antarabangsa, Hasina menegaskan, beliau tidak gentar menghadapi hukuman tersebut dan menyifatkan keputusan mahkamah terhadapnya sebagai tidak sah serta bermotif politik.

Pemimpin berusia 78 tahun itu melarikan diri ke India pada Ogos 2024 selepas kebangkitan rakyat yang dipimpin pelajar menamatkan pemerintahan beliau selama 15 tahun.

Sejak itu, beliau jarang muncul di khalayak umum, namun terus menyampaikan pandangannya menerusi beberapa kenyataan dan wawancara.

Menurut Hasina, pelbagai konspirasi telah dilakukan terhadapnya, namun beliau tetap yakin mampu mengatasi segala halangan untuk kembali ke tanah air.

“Saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa walau apa pun rintangan dan konspirasi, saya akan kembali ke negara saya tahun ini,” katanya.

Hasina sebelum ini dijatuhi hukuman mati secara in absentia oleh mahkamah di Dhaka atas kesalahan berkaitan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk dakwaan menghasut keganasan dan gagal menghalang kekejaman.

Bagaimanapun, beliau menolak semua pertuduhan tersebut dan mendakwa sistem kehakiman telah digunakan sebagai alat balas dendam politik bagi melemahkan kepimpinannya serta parti Awami League.

Dalam pada itu, hubungan antara Bangladesh dan India dilaporkan masih tegang, dengan pihak berkuasa Dhaka terus mendesak supaya Hasina diekstradisi bagi menjalani hukuman yang dijatuhkan. – Agensi

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *