BN Johor Kaji Semula Strategi Kempen Selepas Unjuran Kerusi Menurun

Oleh NurFarhana Zulkeply

JOHOR BAHRU –Barisan Nasional (BN) Johor dilaporkan sedang menyusun semula strategi kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan kajian dalaman terbaharu yang menunjukkan gabungan itu berpotensi memperoleh jumlah kerusi lebih rendah berbanding sasaran awal.

Jika sebelum ini BN yakin mampu meraih antara 40 hingga 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), unjuran terkini dikatakan meletakkan gabungan tersebut sekitar 35 kerusi sahaja, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kepimpinan negeri.

Perkembangan itu dijangka mendorong pimpinan tertinggi BN Johor mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh terdekat bagi menilai semula pendekatan kempen serta mengenal pasti langkah segera untuk meningkatkan peluang kemenangan di kerusi-kerusi yang dianggap kritikal.

Tumpuan utama kini dikatakan terarah kepada usaha memenangi sokongan pengundi Cina dan India, khususnya di kawasan bandar yang dilihat masih cenderung menyokong blok lawan.

Pimpinan BN juga mengakui cabaran di kawasan bandar jauh lebih sengit berbanding kawasan luar bandar, dengan sentimen pengundi bandar dipengaruhi pelbagai faktor termasuk isu kos sara hidup, tadbir urus dan persepsi terhadap kepimpinan parti.

Dalam masa sama, isu rasuah termasuk legasi skandal 1MDB dikatakan masih memberi kesan terhadap persepsi sebahagian pengundi bandar, walaupun BN Johor menegaskan pentadbiran negeri tidak pernah dikaitkan dengan sebarang kes rasuah.

Dakwaan bahawa BN Johor mengamalkan politik perkauman turut ditolak dengan hujah bahawa kerajaan negeri telah melantik wakil masyarakat Cina dan India dalam pelbagai jawatan di peringkat kerajaan tempatan serta kepimpinan komuniti.

Perkembangan ini memberi gambaran bahawa PRN Johor kali ini bukan lagi laluan mudah buat BN seperti yang dijangkakan sebelum ini.

Dengan persaingan dijangka lebih tertumpu di kawasan bandar serta kerusi campuran, keputusan pilihan raya kali ini bakal menjadi penentu sama ada BN mampu mengekalkan dominasi politiknya di Johor atau berdepan pengurangan majoriti yang lebih besar daripada jangkaan.

PRN Johor juga dilihat berpotensi menjadi petunjuk awal terhadap pola sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), sekali gus menjadikan setiap kerusi yang dipertandingkan mempunyai nilai strategik yang tinggi.

NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.    

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *