KALAU selama ini kita dengar sijil lahir palsu, kad pengenalan palsu, lesen memandu palsu, malah ijazah pun ada yang palsu, kali ini muncul satu lagi “penemuan” yang boleh dimasukkan dalam muzium keajaiban negara – borang pengebumian palsu.
Bukan filem komedi. Bukan drama pukul tujuh. Ini jawapan rasmi yang keluar selepas satu jenazah dikatakan hampir sejam berada di liang lahad sebelum dapat dikebumikan.
Seperti biasa, bila sesuatu isu meletup, versi cerita pun tumbuh macam cendawan selepas hujan. Pihak masjid ada ceritanya. Waris si mati ada ceritanya. Masing-masing mempertahankan pendirian masing-masing. Itu perkara biasa. Orang ramai pun boleh menilai.
Tetapi, apabila pihak berkuasa agama tampil memberi penjelasan kelewatan berlaku kerana borang yang dibawa waris adalah borang palsu, ramai yang terus menggaru kepala. Bukan sebab kutu. Sebab cuba memahami logiknya.
Selama ini, siapa yang pernah terfikir wujud sindiket mencetak borang pengebumian palsu? Apa untungnya? Nak kebumikan orang mati pun ada orang sanggup memalsukan dokumen? Kalau benar begitu, ini bukan lagi kes terpencil. Ini sudah masuk kategori cerita yang lebih pelik daripada drama bersiri.
Kalau ada sindiket borang pengebumian palsu, sudah tentu orang ramai tertanya-tanya berapa lama sindiket ini beroperasi. Berapa ramai mangsa? Berapa banyak kubur yang pernah menggunakan borang seperti itu? Atau adakah ini kali pertama dalam sejarah negara kita menemui spesies dokumen yang sebelum ini langsung tidak pernah didengari kewujudannya?
Kalau benar ia dokumen palsu, bukankah itu sendiri satu kes jenayah yang serius? Siapa yang mengeluarkannya? Dari mana datangnya? Siapa yang mengedarkannya? Atau istilah “palsu” itu sekadar merujuk kepada borang yang tidak menepati prosedur tertentu? Kalau begitu, jelaskanlah kepada rakyat. Jangan biarkan masyarakat berteka-teki sehingga akhirnya setiap orang membuat tafsiran sendiri.
Yang lebih menghairankan, kalau benar borang itu palsu, adakah proses semakan hanya berlaku ketika jenazah sudah berada di tepi liang lahad? Bukankah dokumen seperti ini sepatutnya boleh disahkan lebih awal sebelum keluarga sampai ke tanah perkuburan? Kalau sistemnya begitu, yang jadi mangsa akhirnya bukan borang, tetapi jenazah dan keluarganya.
Bukankah dalam setiap urusan pentadbiran, prinsip yang paling asas ialah mengesan masalah seawal mungkin? Jika berlaku kekurangan dokumen, bukankah lebih wajar dimaklumkan sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan? Bukannya apabila tanah sudah digali, talkin hampir dibaca dan keluarga sudah bersedia mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir.
Bayangkan perasaan ahli keluarga. Dalam keadaan emosi yang sudah bercampur-baur, mereka bukan sahaja kehilangan insan tersayang, malah terpaksa menyaksikan urusan terakhir itu tergendala kerana isu yang pada pandangan orang awam sepatutnya boleh diselesaikan lebih awal. Saat yang sepatutnya dipenuhi doa dan keinsafan bertukar menjadi saat penuh persoalan.
Sebab itu, isu sebenar bukan lagi sekadar mengenai borang. Isunya ialah bagaimana sesuatu proses boleh gagal sehingga kesannya ditanggung oleh orang yang sedang berdukacita.
Kadang-kadang, kita terlalu ghairah mempertahankan prosedur sehingga terlupa tujuan prosedur itu diwujudkan. Prosedur bukan dicipta untuk menyusahkan orang. Prosedur diwujudkan supaya urusan menjadi lebih tersusun, lebih cepat dan lebih adil. Kalau akhirnya prosedur menyebabkan keadaan menjadi lebih rumit, maka yang perlu dinilai semula ialah prosedurnya, bukannya kesabaran rakyat.
Kadang-kadang, apabila sesuatu penjelasan terlalu sukar diterima akal, orang bukan terus percaya. Orang mula bertanya. Dan apabila soalan semakin banyak daripada jawapan, kepercayaan pun mula menipis sedikit demi sedikit.
Lebih malang lagi apabila setiap kenyataan baharu seolah-olah membuka satu lagi pintu persoalan. Hari ini rakyat bertanya tentang kelewatan. Esok rakyat bertanya tentang borang. Lusa mungkin rakyat pula tertanya-tanya, apakah selepas ini setiap keluarga perlu mendapatkan pengesahan tiga atau empat kali sebelum jenazah dibenarkan masuk ke tanah perkuburan?
Jangan nanti sampai orang bergurau, hendak menguruskan kematian lebih susah daripada memperbaharui pasport.
Dalam dunia pentadbiran, tidak semua masalah boleh diselesaikan dengan mencari alasan. Ada masanya yang lebih diperlukan ialah mengakui kelemahan, memperbaiki prosedur dan memastikan perkara sama tidak berulang. Itu lebih menenangkan hati masyarakat daripada memperkenalkan istilah baharu yang sebelum ini tidak pernah terlintas dalam kamus kehidupan rakyat.
Hakikatnya, rakyat tidak mengharapkan sistem yang sempurna. Semua orang faham manusia boleh melakukan kesilapan. Tetapi rakyat mengharapkan sistem yang mempunyai sifat ihsan. Sistem yang tahu membezakan antara urusan biasa dengan urusan yang melibatkan kematian. Sistem yang meletakkan kemanusiaan mengatasi kerenah pentadbiran.
Yang lebih penting, jangan sampai setiap kali berlaku kelemahan, jawapannya sentiasa mencari siapa yang hendak dipersalahkan. Hari ini borang. Esok mungkin cop. Lusa mungkin dakwat. Sedangkan yang rakyat mahu dengar ialah apakah langkah yang akan diambil supaya perkara seperti ini tidak lagi berulang kepada keluarga lain.
Apa pun, kalau selepas ini benar-benar wujud fenomena borang pengebumian palsu, mungkin sudah sampai masanya rakyat diberi kursus khas bagaimana hendak mengenal pasti borang yang asli sebelum menguruskan kematian ahli keluarga sendiri.
Mungkin selepas ini perlu ada seminar “Kenali Borang Pengebumian Asli Dalam Lima Minit”. Siap dengan demonstrasi membezakan kertas, cop rasmi, tandatangan dan kod keselamatan. Mana tahu, nanti urusan menguruskan jenazah bukan lagi memerlukan ustaz dan penggali kubur sahaja, tetapi juga pakar forensik dokumen.
Sebab nampaknya, mengurus orang hidup sudah cukup rumit. Jangan sampai mengurus orang yang sudah meninggal dunia pun terpaksa melalui episod yang lebih panjang daripada hayat birokrasi itu sendiri.
Kerana akhirnya, yang akan diingati rakyat bukan sekadar kelewatan itu. Yang akan terus hidup dalam ingatan ialah satu ungkapan yang tidak pernah terlintas sebelum ini — borang pengebumian palsu.
Dan apabila sesuatu penjelasan lebih mengejutkan daripada kejadian itu sendiri, jangan salahkan rakyat jika mereka bukan sekadar menggaru kepala. Mereka juga mula mempersoalkan, apakah yang sebenarnya sedang berlaku dalam sistem yang sepatutnya mempermudahkan urusan terakhir seorang insan. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L