BERSAMA Wajibkan Akuan Harta, Bon RM2 Juta dan Surat Letak Jawatan Calon PRN Johor

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

JOHOR BAHRU– BERSAMA mengambil langkah luar biasa menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 apabila mewajibkan semua 15 calonnya mengisytiharkan harta serta menandatangani enam dokumen akujanji yang mengikat mereka dari segi kesetiaan kepada gabungan tersebut.

Pemimpin BERSAMA, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, setiap calon bukan sahaja perlu mengisytiharkan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan melalui akuan bersumpah, malah turut tertakluk kepada bon penalti RM2 juta sekiranya melanggar syarat yang dipersetujui dalam kenyataan di laman X milik Rafizi Ramli.

Menurut mereka, langkah itu diambil bagi memastikan calon yang dipilih benar-benar berintegriti dan bertanggungjawab kepada rakyat serta gabungan yang diwakili.

“Semua 15 calon BERSAMA telah bersetuju menandatangani set akuan bersumpah ini. Dokumen lengkap dijangka diserahkan sebelum jam 12 tengah hari, 26 Jun 2026, iaitu enam jam sebelum calon-calon diumumkan,” kata kenyataan itu.

Syarat yang dikenakan kepada mereka adalah termasuk akujanji untuk mengosongkan kerusi DUN sekiranya dipecat atau keluar daripada BERSAMA, surat peletakan jawatan yang telah siap ditandatangani, pemulangan wang deposit pilihan raya, pengesahan kelayakan calon serta pematuhan terhadap pelbagai kewajipan sebagai wakil rakyat.

Calon juga perlu bersetuju untuk tidak melompat parti, menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri dan memenuhi petunjuk prestasi yang ditetapkan, dengan bon penalti RM2 juta dikenakan sekiranya berlaku pelanggaran.

“Pengisytiharan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan setiap calon akan dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 malam, 26 Jun 2026 melalui laman rasmi BERSAMA,” menurut kenyataan itu lagi.

BERSAMA turut menyeru parti-parti politik lain yang bertanding dalam PRN Johor supaya mengambil langkah sama demi memperkukuh budaya ketelusan dan integriti dalam politik negara.

“Kami berharap calon-calon daripada parti lain juga tampil mengisytiharkan harta masing-masing bagi mengukuhkan amalan politik yang lebih telus dan berintegriti,” kata Rafizi dan Nik Nazmi.

Selain itu, BERSAMA turut memberi komitmen untuk mengisytiharkan sumber dana dan perbelanjaan kempen selepas pilihan raya berakhir, sekali gus meletakkan piawaian baharu dalam amalan politik negara.

Calon-calon BERSAMA dijadualkan umum pada malam 26 Jun sempena pelancaran Trak Kancil di Paragon Market Place, Johor Bahru.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *