Oleh NurFarhana Zulkeply
KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) meluluskan kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) yang dijenamakan semula sebagai Parti Wawasan Negara (Wawasan) menerusi undian majoriti dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md nor mengesahkan keputusan tersebut dibuat secara rasmi selepas mendapat sokongan majoriti dalam mesyuarat berkenaan.
Menurut beliau, keputusan yang dicapai melalui proses pengundian itu telah dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi gabungan tersebut.
Walaupun enggan mengulas lanjut mengenai bantahan yang dibangkitkan oleh Bersatu, Sanusi menegaskan bahawa keputusan menerima Wawasan sebagai anggota baharu PN dibuat mengikut proses yang ditetapkan.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Bersatu dilaporkan menyuarakan kebimbangan terhadap kemasukan parti berkenaan, termasuk mempersoalkan prosedur permohonan serta kesannya terhadap kedudukan gabungan itu.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu antara yang menyatakan pandangan bahawa isu perpaduan dalam kalangan parti komponen sedia ada perlu diberikan perhatian sebelum menerima keanggotaan baharu.
Bagaimanapun, keputusan yang dicapai menerusi undian majoriti menunjukkan kepimpinan PN memilih untuk meneruskan proses kemasukan Wawasan ke dalam gabungan tersebut.
Perkembangan itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan PN menjelang beberapa siri pilihan raya yang bakal berlangsung, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
Kemasukan Wawasan turut menjadi perhatian pemerhati politik yang melihat langkah tersebut berpotensi membawa dimensi baharu kepada landskap politik pembangkang dalam tempoh terdekat.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L