Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kerajaan mengambil langkah jangka panjang bagi memastikan keselamatan sumber air di Johor terus terjamin susulan pertumbuhan pesat sektor perindustrian, pembangunan bandar dan pelaburan strategik termasuk industri pusat data.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), jumlah pengambilan air mentah di Johor ketika ini adalah sebanyak 2,052 juta liter sehari (JLH).
Menurut beliau, kerajaan mempergiat usaha memperkukuh kapasiti sumber air mentah dan sistem bekalan air negeri melalui pelaksanaan pelbagai projek strategik termasuk pembinaan empangan baharu, Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS), baraj serta infrastruktur penyaluran air mentah.
“Kerajaan bersama operator air negeri turut meneliti keperluan peningkatan kapasiti sistem bekalan dan loji rawatan air secara berperingkat berdasarkan unjuran permintaan semasa dan masa hadapan,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Suhaizan Kaiat di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, perihal penting ini bagi memastikan bekalan air terawat yang mencukupi dapat disediakan ketika Johor muncul sebagai hab utama pusat data di Asia Tenggara.
Pada masa sama, empat projek pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad sedang dilaksanakan bagi meningkatkan kapasiti bekalan air terawat di negeri berkenaan.
Fadillah turut menegaskan bahawa penggunaan air pulih guna kini menjadi komponen penting dalam strategi keselamatan air negara, khususnya bagi sektor industri berintensiti tinggi seperti pusat data.
Menurut beliau, pendekatan tersebut mampu mengurangkan kebergantungan kepada sumber air terawat serta mengoptimumkan penggunaan sumber air sedia ada secara lebih mampan.
“Melalui kerjasama strategik antara Indah Water Konsortium dan Johor Special Water, sebanyak 12 JLH air pulih guna berkualiti tinggi kini dibekalkan untuk kegunaan sistem penyejukan pusat data di Johor,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu membuktikan sumber air alternatif berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam menyokong pertumbuhan industri tanpa menjejaskan keutamaan bekalan air kepada rakyat.
Beliau tambah juga bahawa gabungan pembangunan sumber air baharu, peningkatan kapasiti sistem bekalan, pembinaan loji rawatan air dan penggunaan sumber air alternatif diyakini mampu memastikan keperluan bekalan air Johor terus mencukupi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat pada masa hadapan.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L