Onn Hafiz Dakwa ‘Tangan Ghaib’ Gagalkan Sambutan Hari Peneroka FELDA Johor

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi mendakwa wujud “tangan ghaib” yang menghalang penganjuran Sambutan Hari Peneroka FELDA Johor yang dijadualkan berlangsung pada 21 Jun lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata penangguhan program itu tidak menjejaskan usaha Kerajaan Negeri meneruskan agenda kebajikan warga FELDA, termasuk penyerahan hak milik tanah kepada 210 peneroka yang berjaya dilaksanakan semalam.

“Seperti yang difitnah oleh pelbagai pihak, saya tidak dapat mengadakan program pada 21 Jun bukan sebab mereka. Ada ‘tangan ghaib’ yang menghalang,” katanya dalam satu hantaran Facebook miliknya.

Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi FELDA, Ahmad Shabery Cheek atas kerjasama menjayakan program penyerahan hak milik tersebut.

Menurut beliau, penyerahan itu melengkapkan penyelesaian 27,639 hak milik peneroka FELDA di Johor atau 99.99 peratus daripada keseluruhan peneroka di negeri ini.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan negeri terus memberi tumpuan kepada keperluan Generasi Kedua FELDA apabila 10,663 permohonan lot kediaman, bersamaan 86 peratus daripada keseluruhan permohonan, telah diluluskan setakat ini.

“Daripada jumlah itu, 3,178 permohonan berjaya diselesaikan sepanjang tempoh pentadbiran ini,” katanya.

Beliau berkata, antara 2022 hingga 2026, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM36.19 juta bagi pelbagai inisiatif melibatkan peneroka, generasi FELDA, belia, wanita dan komuniti FELDA di seluruh Johor.

Onn Hafiz menegaskan komitmen kerajaan negeri akan terus tertumpu kepada kebajikan warga FELDA serta memastikan legasi perjuangan peneroka terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *