SHAH ALAM – Ada tokoh dikenang kerana perjuangan politiknya. Ada pula dikenang kerana ilmu, dakwah dan sumbangannya kepada masyarakat. Namun, sesekali hadir tokoh yang meninggalkan kesan dalam kedua-dua ruang iaitu agama dan politik.
Antara nama yang wajar dikenang ialah Allahyarham Ustaz Dato’ Ismail Kamus, seorang pendakwah yang cukup dikenali masyarakat Malaysia serta pengasas Persatuan Perubatan Islam DarusSalam Malaysia.
Beliau meninggal dunia 8 Mei 2020 pada usia 71 tahun. Namun, di sebalik perjalanan panjangnya sebagai pendakwah, Ismail Kamus turut mempunyai satu lembaran penting dalam sejarah politik negara iaitu pilihan raya umum 1999.
Pilihan Raya Umum ke-10 pada 29 November 1999 berlangsung dalam suasana politik yang sangat berbeza daripada pilihan raya sebelumnya. PAS mencatat peningkatan besar, termasuk memenangi 42 daripada 193 kerusi Parlimen, berbanding hanya 16 kerusi pada 1995.
Dalam pilihan raya negeri Selangor pada tahun itu, nama Ismail Kamus muncul sebagai antara kejutan yang menarik perhatian.
Beliau bertanding atas tiket PAS di DUN Gombak Setia dan berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Abdul Ghani Mohd Yatim dengan memperoleh 11,821 undi berbanding 10,868 undi. Kemenangan itu memberikan majoriti 953 undi kepada beliau.
Kemenangan itu bukan sekadar catatan angka. Ia memperlihatkan bagaimana seorang tokoh agama yang lebih dikenali melalui dunia dakwah mampu memasuki gelanggang pilihan raya dan memperoleh mandat rakyat.
Ismail Kamus kemudiannya berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia dari 1999 hingga 2004 dan PRU 1999 turut menyaksikan beberapa tokoh berlatar belakangkan agama, undang-undang dan kesusasteraan tampil dalam politik pilihan raya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Antaranya, Datuk Dr. Hasan Ali yang memenangi DUN Sungai Burung dengan majoriti tipis 91 undi. Pada pilihan raya yang sama, beliau turut memenangi kerusi Parlimen Parit Buntar dengan majoriti 2,094 undi.
Di Kedah pula, nama Ustaz Dato’ Taib Azamudden mencuri perhatian apabila beliau memenangi kerusi Parlimen Baling dengan memperoleh 21,468 undi menewaskan calon BN majoriti 1,394 undi.
Kemunculan tokoh agama dalam pilihan raya itu bukan sesuatu yang berdiri sendiri. Ia berlaku dalam konteks gelombang politik lebih besar selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998 serta kemunculan gerakan Reformasi.
Dalam suasana politik sedemikian, pilihan raya 1999 menjadi medan penting untuk rakyat menyatakan sokongan, bantahan dan perubahan pendirian politik masing-masing.
Yang menariknya, kejutan PRU 1999 tidak terhad kepada tokoh agama. Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas turut bertanding atas tiket PAS dan memenangi DUN Jertih di Terengganu. Beliau memperoleh 5,075 undi, berbanding 3,611 undi yang diterima calon BN dengan majoriti 1,464 undi.
Dunia kesusasteraan juga mempunyai wakilnya, apabila Sasterawan Negara (SN) Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad bertanding di Parlimen Sik, Kedah, atas tiket PAS dan berjaya memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya 1999. Beliau memperoleh 13,504 undi, dengan majoriti 478 undi.
Maka, PRU 1999 bukan hanya memperlihatkan persaingan antara parti politik. Ia turut menjadi pentas yang menghimpunkan pelbagai latar tokoh iaitu pendakwah, ulama, hakim dan sasterawan. – Al-Fatihah.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
