Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
JOHOR BAHRU – Sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 20 hingga 21 Jun di FELDA Ulu Belitong, Kluang ditangguhkan pada saat akhir selepas FELDA Negeri Johor menerima arahan supaya program berkenaan tidak diteruskan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, keputusan tersebut dimaklumkan lewat kepada kerajaan negeri pada 16 Jun lalu walaupun pelbagai persiapan telah dibuat bersama pihak FELDA dan jawatankuasa di peringkat rancangan.
Menurut beliau, sambutan tahunan itu sentiasa dinanti-nantikan warga FELDA sebagai platform memperkukuh semangat muafakat dan kebersamaan dalam kalangan komuniti peneroka di Johor.
“Walaupun penangguhan ini bukan berpunca daripada pihak kerajaan negeri, kami menerima keputusan tersebut secara terbuka dan bertanggungjawab memohon maaf kepada seluruh warga FELDA yang terkesan,” katanya dalam laman Facebook miliknya.
Beliau berkata, pengisian utama yang dirancang termasuk penyerahan hak milik kepada 210 peneroka, program pembangunan komuniti, pameran agensi, aktiviti belia dan keluarga serta pelbagai inisiatif kebajikan untuk warga FELDA.
Menurut beliau juga, kerajaan negeri turut meluluskan peruntukan bagi menjayakan program berkenaan dan lebih 5,000 warga FELDA daripada 73 rancangan di seluruh Johor telah mengesahkan kehadiran mereka.
“Kesemua persiapan telah dilaksanakan dengan kerjasama erat antara kerajaan negeri, FELDA dan jawatankuasa di peringkat rancangan bagi memastikan sambutan ini berlangsung dengan jayanya,” katanya.
Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Generasi Terengganu yang juga Pengerusi Kumpulan Aktivis Media Independen mendakwa masalah yang berlaku menunjukkan perlunya pembaharuan dalam pengurusan FELDA.
“Kami sudah lama menegur dan memperjuangkan isu berkaitan FELDA bukan kerana benci atau mahu menghancurkan institusi itu, tetapi kerana mahu menyelamatkannya. Menara FELDA perlu kembali fokus kepada kepentingan peneroka dan hak negeri-negeri yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.
Zahari berkata, kerajaan negeri tetap komited membela kebajikan komuniti FELDA menerusi pelbagai inisiatif termasuk Bantuan Kasih Johor, Bakul Kasih Johor, pembangunan infrastruktur, pemberian lot generasi kedua, geran pentadbiran JKKR serta bantuan kepada Gerakan Persatuan Wanita (GPW).
“Sejak tahun 2022 hingga Jun 2026, lebih RM35 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk manfaat warga FELDA di Johor,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa segala usaha yang dirancang untuk kesejahteraan komuniti FELDA akan diteruskan walaupun sambutan berkenaan ditangguhkan.
“Insya-Allah, komitmen kerajaan negeri untuk terus menghargai, membela dan memperjuangkan kebajikan warga FELDA tidak akan pernah terhenti kerana mereka merupakan sebahagian penting daripada keluarga besar Bangsa Johor,” katanya.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L