Perpisahan PAS-Bersatu Buka Ruang Penyatuan Politik Melayu Lebih Luas – Armin

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

KUALA LUMPUR— Perpisahan antara PAS dan Bersatu berpotensi menjadi titik permulaan kepada pembentukan blok politik Melayu dan Bumiputera lebih besar serta inklusif menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) dan Setiausaha Agung Sekretariat Tanahair (STAR), Dr. Armin Baniaz Pahamin berkata, keputusan PAS menamatkan kerjasama dengan Bersatu tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya lahir selepas pelbagai usaha mengekalkan kerjasama sedia ada tidak mencapai titik persefahaman.

“Keputusan ini menunjukkan PAS melihat agenda penyatuan politik Melayu dan Bumiputera tidak lagi dapat dicapai secara optimum dalam kerangka kerjasama yang ada,” katanya dalam laman Facebook miliknya.

Menurut beliau, perpisahan tersebut perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, iaitu usaha membentuk penyatuan politik Melayu yang lebih menyeluruh dan terbuka kepada penyertaan pelbagai parti serta gerakan yang berkongsi aspirasi sama.

Dr. Armin berkata, persoalan yang timbul ialah mengapa parti-parti seperti PEJUANG, PUTRA, IMAN dan BERJASA boleh bekerjasama di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), tetapi tidak diterima dalam kerangka Perikatan Nasional (PN).

“Jika matlamatnya adalah memperkukuhkan penyatuan kuasa politik Melayu dan Bumiputera, apakah perbezaan prinsip yang menghalang penyertaan mereka dalam PN?” soal beliau.

Beliau berpandangan bahwa berakhirnya hubungan PAS dan Bersatu membuka ruang politik baharu kepada PAS untuk meneroka kerjasama lebih luas bersama parti-parti Melayu dan Bumiputera lain tanpa sebarang kekangan.

“Penyusunan semula ini berpotensi menjadi pemangkin kepada pembentukan satu blok politik Melayu dan Bumiputera yang lebih besar, tersusun dan mampu mengurangkan perpecahan undi dalam kerusi-kerusi strategik,” katanya.

Menurutnya, cabaran terbesar ketika ini bukan lagi soal parti mana yang lebih dominan, tetapi bagaimana membina satu kekuatan politik yang mampu menyatukan sebanyak mungkin pihak yang berkongsi matlamat dan aspirasi yang sama.

“Jika penyatuan baharu berjaya direalisasikan, perpisahan PAS dan Bersatu mungkin akan dikenang bukan sebagai pengakhiran sebuah kerjasama, tetapi sebagai titik mula kepada kebangkitan semula kuasa politik Melayu dan Bumiputera menjelang PRU16,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa perbezaan yang berlaku tidak seharusnya bertukar menjadi permusuhan kerana sejarah menunjukkan perpecahan politik Melayu sering memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *