Oleh: Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – MCA mempersoalkan kegagalan pihak berkuasa menangani isu kewujudan gerai dan kiosk tanpa lesen di kawasan Sri Petaling, Seputeh yang didakwa berlarutan hampir dua dekad, walaupun pelbagai aduan telah dikemukakan oleh penduduk.
Naib Presiden MCA, Datuk IR Lawrence Low berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap keberkesanan, ketelusan dan kecekapan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.
“Dua puluh tahun bukanlah tempoh yang singkat. Kegagalan menyelesaikan isu ini secara berkesan selepas pelbagai aduan dibuat menimbulkan persoalan yang wajar mengenai keberkesanan sistem penguatkuasaan di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook MCA.
Beliau mengulas sebuah video tular yang memaparkan rungutan penduduk berhubung pertambahan gerai tidak berlesen yang didakwa menjejaskan kehidupan harian masyarakat setempat.
Menurut Lawrence, dakwaan yang lebih membimbangkan ialah kewujudan unsur kutipan wang perlindungan terhadap peniaga oleh pihak tertentu, seperti yang dibangkitkan dalam video berkenaan.
“Walaupun dakwaan itu masih belum dibuktikan, ia adalah tuduhan serius yang tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan integriti penguatkuasaan dan kredibiliti pihak berkuasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti supaya tampil membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Lawrence berkata, penduduk turut mendakwa berdepan pelbagai masalah susulan kewujudan gerai tidak berlesen termasuk kesesakan lalu lintas akibat parkir berganda, laluan pejalan kaki yang terhalang, sistem perparitan tersumbat, tahap kebersihan yang merosot serta risiko terhadap keselamatan awam.
Beliau turut meminta Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, memberikan penjelasan berhubung usaha penyelarasan aduan dan tindakan penguatkuasaan di kawasan tersebut memandangkan beliau telah mewakili kawasan itu sejak 1999.
Pada masa sama, Lawrence menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, campur tangan sekiranya terdapat sebarang salah laku yang memerlukan tindakan tegas.
“Jika benar wujud sebarang salah laku, tindakan perlu diambil tanpa mengira siapa yang terlibat. Kepentingan rakyat dan integriti institusi mesti diutamakan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu terus dibantu melalui saluran yang sah dan teratur kerana sektor tersebut merupakan antara tunjang utama ekonomi negara.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L