Hubungan PAS-Bersatu Dilihat Retak, Kenyataan Hadi Cetus Spekulasi Kerjasama Baharu Dengan UMNO

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Faiz Fadzil mendakwa kenyataan terbaharu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi gambaran jelas parti itu sedang bergerak menjauh daripada Bersatu dan berusaha membuka semula ruang kerjasama politik dengan UMNO.

Menurut beliau, tindakan PAS dilihat bukan berpunca daripada isu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu di beberapa negeri, sebaliknya kerana parti itu dipercayai mula merasakan Bersatu tidak lagi mempunyai nilai strategik dalam percaturan politik semasa.

Katanya, perubahan sikap PAS terhadap sekutu politik bukanlah perkara baharu kerana parti itu didakwa sering menukar pendirian berdasarkan kepentingan politik semasa.

“PAS menggunakan pelbagai naratif agama untuk menghalalkan tindakan politik mereka, namun akhirnya rakan politik sendiri yang akan ditinggalkan apabila tidak lagi diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Faiz, sejarah telah membuktikan bagaimana PAS pernah menyerang UMNO dengan pelbagai label politik dan agama sebelum kedua-dua parti kembali bekerjasama atas nama perpaduan Melayu-Islam.

Beliau mendakwa situasi sama mungkin bakal berlaku terhadap Bersatu sekiranya hubungan antara kedua-dua parti terus meruncing.

“Dulu UMNO dikritik habis-habisan, tetapi akhirnya dianggap rakan politik yang boleh diterima. Kini apabila hubungan dengan Bersatu mula bergolak, rakyat sedang melihat episod politik yang hampir sama berulang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengimbau satu kisah sindiran politik yang pernah diceritakan Allahyarham Fadzil Noor ketika sesi penggulungan Muktamar PAS suatu ketika dahulu.

Menurutnya, kisah mengenai pertandingan memasuki kandang kambing itu mempunyai maksud mendalam mengenai sikap politik dan hubungan sesama rakan sekutu.

“Ada peserta masuk kandang kambing dan keluar awal kerana tidak tahan bau. Tetapi apabila peserta terakhir masuk, bukan dia yang keluar dahulu, sebaliknya kambing pula yang keluar,” katanya sambil menyifatkan analogi itu sebagai sindiran penuh hikmah terhadap budaya politik tertentu.

Faiz berkata, di bawah kepimpinan Allahyarham Fadzil Noor, PAS ketika itu lebih menghormati rakan politik dan konsisten dalam kerjasama bersama parti-parti pembangkang termasuk mempertahankan perjuangan reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun menurut beliau, pendekatan PAS pada hari ini dilihat jauh berbeza apabila parti itu didakwa sering bertukar sekutu politik mengikut keadaan semasa.

“PAS pernah bersama DAP, kemudian berpisah. Pernah bersama PKR dan UMNO, kemudian hubungan juga retak. Kini bersama Bersatu pula dilihat mula bergolak.

“Ketika berkawan, semuanya dianggap baik dan diterima. Tetapi apabila hubungan berakhir, naratif berubah,” katanya.

Beliau turut mendakwa pendekatan politik PAS masa kini menimbulkan persoalan mengenai tahap konsistensi parti itu dalam menjaga hubungan bersama sekutu politik.

Kenyataan Faiz itu hadir ketika spekulasi mengenai ketegangan dalaman Perikatan Nasional (PN) semakin hangat diperkatakan susulan beberapa perkembangan politik melibatkan PAS dan Bersatu sejak kebelakangan ini.

Setakat ini, pimpinan PAS dan Bersatu belum memberikan maklum balas rasmi terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Amanah itu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *