Keadaan kesihatan puteri Thailand merosot

BANGKOK – Keadaan kesihatan seorang puteri Thailand yang dimasukkan ke hospital sejak lebih tiga tahun lalu telah merosot, kata pihak istana hari ini.

Puteri Bajrakitiyabha Mahidol iaitu puteri sulung Raja Vajiralongkorn, jatuh sakit semasa sesi latihan anjing tentera pada Disember 2022 dan kekal di hospital sejak itu.

Beliau menghidap jangkitan darah teruk, manakala fungsi paru-paru serta buah pinggangnya disokong oleh peranti perubatan dan ubat, kata istana sebelum ini.

Biro Isi Rumah Diraja berkata dalam satu kenyataan hari ini, puteri itu mengalami jangkitan perut akibat radang usus besar dengan ‘tanda-tanda vital tidak stabil, tekanan darah rendah, degupan jantung tidak teratur dan pembekuan darah yang tidak norma’.

Istana Thailand menyatakan, Puteri Bajrakitiyabha masih bergantung pada mesin sokongan hayat untuk menyokong fungsi paru-paru dan buah pinggangnya.

“Keadaan beliau terus merosot,” katanya sambil menambah, jangkitan itu menjadi ‘tidak terkawal dan menjejaskan organ lain’.

Mendapat pendidikan di Britain, Amerika Syarikat dan Thailand, Puteri Bajrakitiyabha memegang beberapa jawatan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan berkempen untuk layanan yang lebih baik bagi wanita di penjara.

Dikenali di Thailand sebagai ‘Puteri Bha’, kerabat diraja berusia 47 tahun itu ialah anak tunggal daripada perkahwinan pertama Raja Vajiralongkorn.

Raja Thai berusia 73 tahun itu mempunyai tujuh anak daripada empat perkahwinan dan belum mengumumkan pewaris takhta pilihannya. – AFP 

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *