Oleh NurFarhana Zulkeply
KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menjangkakan hampir sejuta kenderaan akan memasuki negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan cuti sekolah hujung minggu ini.
Pengarah JPJ Kelantan berkata, seramai 187 anggota penguat kuasa bersama 50 pasukan operasi akan digerakkan menerusi Op Khas Hari Raya Aidiladha yang berlangsung dari 24 hingga 31 Mei ini.
Menurutnya, operasi itu memberi tumpuan kepada rondaan dan pemantauan di laluan utama serta kawasan dikenal pasti sebagai ‘blackspot’ kemalangan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
“Selain pemantauan trafik, operasi turut melibatkan penyamaran anggota sebagai penumpang bas ekspres bagi mengesan kesalahan pemandu secara terus.
“Pemeriksaan teknikal terhadap bas, semakan dokumen pemandu dan penumpang serta ujian saringan dadah dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) juga akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, pihak JPJ turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi pemeriksaan membabitkan warga asing sepanjang operasi dijalankan.
Orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kemalangan sepanjang musim perayaan.
Maklumat mengenai operasi dan jangkaan aliran trafik itu dikongsikan menerusi media sosial TikTok dan Facebook tempatan sejak awal minggu ini.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L