Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat daripada 13 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang bakal menggalas amanah mewakili negara di pelbagai rantau strategik dunia.
Dalam pertemuan itu, beliau menegaskan keperluan untuk terus memperkukuh diplomasi ekonomi negara, khususnya dalam menarik perdagangan dan pelaburan berkualiti tinggi serta meneroka peluang kerjasama strategik demi memacu pertumbuhan ekonomi mampan.
“Diplomat Malaysia perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membuka ruang perdagangan baharu, menarik pelaburan berkualiti tinggi serta memperkukuh hubungan strategik yang mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat dan negara,” katanya.
Menurut beliau, peranan diplomat tidak terhad kepada penguasaan protokol dan hubungan rasmi antara negara semata-mata, sebaliknya memerlukan kefahaman mendalam terhadap sejarah, budaya, sistem politik serta masyarakat setempat bagi memastikan keterlibatan diplomatik lebih berkesan dan bermakna.
“Malah saya tekankan juga pentingnya usaha berterusan untuk membimbing dan memperkasa generasi diplomat muda agar memiliki keluasan ilmu, ketajaman pemikiran serta kemampuan mendepani geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar dan kompleks ketika ini,” katanya.
Anwar Ibrahim turut menekankan kepentingan membimbing serta memperkasa generasi diplomat muda agar memiliki keluasan ilmu, ketajaman pemikiran dan kemampuan.
“Malaysia akan terus berpegang pada prinsip kesederhanaan, kestabilan, tata kelola yang baik serta pendekatan diplomasi yang berteraskan kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan sejagat dalam membawa suara negara di pentas dunia,” katanya.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L