Spekulasi PRN Johor Semakin Hangat, Kepimpinan UMNO Negeri Terus Kunci Mulut

JOHOR BAHRU – Spekulasi mengenai kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam masa terdekat terus menjadi tanda tanya apabila kepimpinan tertinggi UMNO negeri enggan mengesahkan dakwaan satu sidang khas DUN bakal berlangsung pada 24 Jun ini bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Situasi itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan pemerhati politik susulan beberapa perkembangan mutakhir yang dilihat memberi petunjuk persiapan awal sedang dilakukan oleh jentera parti pemerintah di negeri ini.

Timbalan Speaker DUN Johor, Datuk Samsolbari Jamali bagaimanapun menafikan beliau mempunyai pengesahan rasmi berhubung dakwaan pembubaran DUN akan diumumkan dalam sidang khas tersebut.

Menurut beliau, setakat ini tiada keputusan muktamad dibuat berhubung perkara berkenaan meskipun khabar angin mengenai kemungkinan PRN awal semakin diperkatakan.

“Belum ada apa-apa yang pasti. Tak ‘confirm’ lagi,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat bersama 25 Ketua UMNO Bahagian Johor di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, di sini.

Mesyuarat tertutup itu dipengerusikan sendiri oleh Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Turut hadir Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan serta beberapa pimpinan kanan parti termasuk ketua-ketua sayap UMNO negeri.

Kehadiran hampir keseluruhan kepimpinan utama UMNO Johor dalam pertemuan tersebut secara tidak langsung mencetuskan spekulasi perbincangan berkaitan hala tuju politik negeri dan persediaan menghadapi pilihan raya mungkin menjadi antara agenda utama.

Bagaimanapun, usaha media mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu berdepan kesukaran apabila kebanyakan pemimpin yang hadir memilih untuk mengunci mulut daripada memberikan sebarang kenyataan lanjut.

Onn Hafiz sendiri hanya melemparkan senyuman kepada pemberita ketika keluar dari lokasi mesyuarat tanpa mengadakan sidang media rasmi.

“Tumpang lalu,” katanya berseloroh sambil berlalu meninggalkan kumpulan wartawan yang menunggu di luar bangunan.

Tindakan kepimpinan UMNO Johor yang enggan mengulas lanjut mengenai mesyuarat berkenaan dilihat menambah lagi teka-teki politik di negeri itu.

Seorang Ketua UMNO Bahagian yang ditemui bagaimanapun menafikan pertemuan tersebut membincangkan soal pembubaran DUN ataupun tarikh PRN Johor.

Menurut beliau, fokus utama mesyuarat lebih tertumpu kepada gerak kerja parti dalam mendekati rakyat serta memperkukuhkan kesiapsiagaan jentera di semua peringkat.

“Kita bincang soal gerak kerja dan program bersama rakyat sahaja. Tidak ada bincang soal tarikh pilihan raya,” katanya ringkas.

Walaupun tiada pengesahan rasmi diberikan, desas-desus mengenai kemungkinan Johor mengadakan PRN lebih awal terus menjadi topik hangat dalam kalangan pemerhati politik dan akar umbi parti.

Ada pihak berpendapat kerajaan negeri mungkin mempertimbangkan pembubaran DUN lebih awal bagi mendapatkan mandat baharu sebelum landskap politik nasional berubah menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Selain faktor strategi politik, kestabilan pentadbiran dan kekuatan semasa Barisan Nasional (BN) di Johor juga dilihat antara faktor yang boleh mempengaruhi keputusan tersebut.

Untuk rekod, PRN Johor pada Mac 2022 menyaksikan BN memperoleh kemenangan besar apabila berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti kukuh.

Kemenangan itu dianggap sebagai titik kebangkitan semula BN selepas parti tersebut mengalami prestasi kurang memberangsangkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 sebelum ini.

Bagaimanapun, penggal pentadbiran kerajaan negeri Johor sebenarnya hanya dijadual berakhir pada April 2027, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keperluan mengadakan pilihan raya lebih awal sekiranya benar spekulasi itu menjadi kenyataan.

Penganalisis politik melihat tindakan kepimpinan UMNO Johor yang masih berahsia mungkin bertujuan mengelakkan gangguan terhadap persiapan parti selain memberi ruang kepada perbincangan dalaman sebelum sebarang keputusan besar dibuat.

Dalam masa sama, pemerhati turut menjangkakan sebarang perkembangan berkaitan sidang khas DUN atau pembubaran DUN Johor akan terus menjadi perhatian kerana ia berpotensi memberi kesan terhadap dinamika politik nasional.

Setakat ini, kerajaan negeri Johor masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi sama ada sidang khas DUN pada 24 Jun benar-benar akan berlangsung dan sama ada ia mempunyai kaitan dengan kemungkinan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN lebih awal.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *